NAMA Mohammad Bagher Qalibaf kini menjadi perhatian dunia, meskipun beliau sebelum ini lebih dikenali sebagai pemimpin politik dan bekas komander tentera Iran.
Speaker Parlimen Iran berusia 64 tahun itu muncul sebagai ketua perunding Teheran dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik yang menggugat kestabilan Asia Barat serta mengancam laluan perdagangan global menerusi Selat Hormuz.
Peranan Qalibaf menjadi semakin penting selepas laporan media antarabangsa menyebut beliau antara tokoh utama yang terlibat dalam perjanjian awal yang membuka laluan kepada rundingan damai antara kedua-dua negara.
Walaupun beberapa laporan mengenai hubungan langsung dengan Washington dinafikan Teheran, Qalibaf kini dilihat sebagai individu paling berpengaruh dalam mengendalikan proses diplomatik Iran selepas perang.
Daripada medan perang ke meja rundingan
Dilahirkan pada 23 Ogos 1961 di wilayah Razavi Khorasan, timur laut Iran, Qalibaf menyertai Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) ketika Perang Iran-Iraq yang berlangsung antara 1980 hingga 1988.
Kerjaya ketenteraannya terus berkembang sehingga beliau dipilih untuk menerajui Khatam al-Anbiya, cabang pembinaan dan ekonomi IRGC yang bertanggungjawab membantu membangunkan semula Iran selepas perang.
Qalibaf kemudiannya dilantik sebagai komander Tentera Udara IRGC pada 1997 sebelum menerajui pasukan polis negara.
Dalam tempoh itu, beliau dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan mempunyai hubungan rapat dengan struktur keselamatan Iran.
Qalibaf turut mencuba nasib dalam politik nasional dengan bertanding jawatan Presiden sebanyak beberapa kali. Walaupun gagal memegang jawatan tertinggi negara, beliau berjaya membina pengaruh besar sebagai Datuk Bandar Teheran dari 2005 hingga 2017 sebelum dipilih sebagai Speaker Parlimen pada 2020.
Namun, perjalanan politiknya tidak terlepas daripada kontroversi. Beliau pernah dikaitkan dengan tindakan kekerasan terhadap demonstrasi pelajar pada 1999 dan beberapa dakwaan rasuah ketika menerajui pentadbiran di ibu kota Teheran.
Walaupun begitu, dakwaan itu tidak menjejaskan kedudukannya dalam sistem politik Iran.
Ujian terbesar
Konflik yang tercetus selepas serangan AS-Israel pada 28 Februari lalu mengubah landskap politik Iran dan melonjakkan peranan Qalibaf ke peringkat antarabangsa.
Ketika ekonomi Iran tertekan akibat sekatan Barat dan ketegangan serantau yang menjejaskan eksport tenaga, beliau kini berdepan tugas sukar untuk mencapai kompromi secara kekal dengan Washington tanpa mengorbankan kepentingan strategik Teheran.
Rundingan seterusnya dijadualkan berlangsung dalam tempoh 60 hari yang dijangka memberi tumpuan kepada beberapa isu utama termasuk masa depan program nuklear, pemulihan eksport minyak Iran dan pelonggaran sekatan ekonomi antarabangsa.
Bagi pemerhati politik, kejayaan rundingan di Switzerland bukan sahaja boleh menentukan masa depan hubungan AS-Iran malah berpotensi mengangkat Qalibaf sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam era pasca perang Iran.
Sebaliknya, kegagalan mencapai persetuan berisiko mengheret Asia Barat kembali ke kancah ketegangan yang lebih meruncing, sekali gus menjadikan misi diplomatik yang dipimpinnya antara cabaran terbesar dalam karier politik beliau - Agensi