PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dijangka meneliti semula kedudukan jurugambar ketika upacara lagu kebangsaan di Piala Dunia selepas dua pengendali ternama, Julian Nagelsmann dan Thomas Tuchel menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap situasi tersebut.
Kedua-dua jurulatih berpendapat kedudukan jurugambar terlalu hampir sehingga mengganggu detik emosi bersama pemain sebelum sepak mula, selain menghalang pandangan mereka terhadap pasukan.
Nagelsmann berkata, keadaan itu terlalu ekstrem apabila jurugambar berada terlalu dekat dengan kawasan teknikal.
“Yang agak pelik di sini ialah betapa dekatnya mereka. Saya pernah dirakam dari jarak hanya satu sentimeter dengan lensa besar.
“Ia terlalu dekat,” katanya selepas Jerman menewaskan Ivory Coast 2-1 untuk mara ke pusingan kalah mati.
Sebelum itu, Tuchel turut meluahkan perkara sama selepas England menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi pembukaan, apabila beliau merasakan detik penting ketika lagu kebangsaan tidak dapat dinikmati sepenuhnya.
“Saya tidak tahu sejauh mana kami dibenarkan untuk mengadu, tetapi saya bersetuju dengan Thomas Tuchel. Ia detik emosi apabila anda bersama pemain ketika lagu kebangsaan,” kata Nagelsmann.
Nagelsmann turut menjelaskan kedudukan jurugambar di Piala Dunia itu lebih hampir berbanding pertandingan utama lain seperti Bundesliga dan Liga Juara-Juara.
Susulan kritikan tersebut, FIFA dilaporkan akan mempertimbangkan perubahan kedudukan jurugambar bagi memastikan detik lagu kebangsaan dapat berlangsung tanpa gangguan.