KULIM - Tindakan penduduk kampung menjejaki pasangan kekasih yang kerap ke tandas sebuah surau di sini pada lewat malam akhirnya membongkar perbuatan menjijikkan dilakukan mereka.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pemeriksaan yang dibuat di tandas surau itu kemudian menemui pasangan terbabit dalam keadaan separuh bogel kira-kira jam 1.30 pagi.
Menurutnya, lelaki berusia 18 tahun berasal dari Sungai Kob, Karangan bekerja di tempat menjual nasi lemak sementara pasangannya berasal dari Changlun berusia 15 tahun.
"Orang syak mereka melakukan maksiat sebab menuju ke surau lewat malam lebih dua tiga kali.
"Bila buat pemeriksaan mendapati pasangan berada di dalam tandas dalam keadaan separuh bogel," katanya.
Mereka kemudian memanggil pengerusi surau dan memaklumkan kepada pegawai penguatkuasa agama.
"Hasil soal siasat mendapati kedua-duanya bukan suami isteri, lelaki itu mengenali pasangannya di tempat kerja hanya dalam tempoh seminggu.
"Remaja perempuan pula tinggal di Sungai Ular bersama ibu saudara. Kejadian disedari orang awam dan penduduk kampung dari gerai makan berhampiran yang kerap melihat pasangan itu ke surau pada lewat malam dan awal pagi," katanya.
Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.