Wanita maut, Tesla dipercayai dalam mod pandu sendiri langgar rumah

Iklan
Seorang wanita maut selepas sebuah Tesla yang didakwa berada dalam mod pemanduan sendiri merempuh sebuah rumah di Katy, Texas. Foto Anadolu Ajansi

ANKARA - Seorang wanita maut selepas sebuah kenderaan Tesla yang dipercayai berada dalam mod pandu sendiri melanggar sebuah rumah di negeri Texas, Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Insiden itu berlaku kira-kira 8 malam waktu tempatan pada Jumaat (0100 GMT Sabtu) di Katy apabila sebuah kenderaan Tesla jenis Model 3 yang dipandu Michael Butler dipercayai keluar dari lorongnya sebelum terbabas dan melanggar sebuah kediaman, menurut laporan ABC News yang memetik pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurut Pejabat Syerif Daerah Harris, Butler mengendalikan kenderaan itu menggunakan 'sistem bantuan pemanduan automatik' ketika kemalangan berlaku.

"(Kenderaan) Tesla yang dipandu Butler memasuki kediaman itu pada kelajuan tinggi dan melanggar M Avila yang berada di dalam rumah berkenaan," menurut pejabat syerif dalam satu kenyataan.

Iklan

Avila diterbangkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia kemudian, kata penyiasat.

Pihak berkuasa berkata, Butler cedera dalam kemalangan itu, namun tidak menunjukkan tanda-tanda berada di bawah pengaruh alkohol dan telah memberikan kerjasama kepada penyiasat.

Iklan

Menurut laporan itu, siasatan masih dijalankan dan setakat petang Sabtu, tiada sebarang pertuduhan difailkan. - Bernama-Anadolu