'Terima kasih abah kerja keras untuk saya' - Anak tukang kebun raih 5A STPM

Iklan
Nur Aina Najwa (tengah) menunjukkan keputusan cemerlang yang diperolehi kepada bapanya (kanan) yang juga tukang kebun sekolah.

BACHOK - Air mata kegembiraan seorang tukang kebun mengiringi kejayaan anak sulungnya apabila meraih keputusan cemerlang 5A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Pelajar aliran Sains Sosial, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung, Nur Aina Najwa Rosdi, 19, mendedikasikan kejayaan itu khusus buat bapanya, Rosdi Mat Arifin, 58, yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah sama.

Iklan
Iklan

Menurut Nur Aina Najwa, pengorbanan bapanya menjadi sumber kekuatan untuknya terus berusaha mengubah kehidupan keluarga.

“Terima kasih abah kerana sanggup bekerja keras untuk saya dan adik-adik. Abah banyak berkorban untuk kami walaupun hidup dalam serba sederhana.

Iklan

“Saya belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi guru supaya dapat mengubah kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 di SMK Sri Gunung pada Ahad.

Nur Aina Najwa (tengah) dicium ibu bapanya selepas meraih keputusan cemerlang STPM 2025. 

Iklan

Nur Aina Najwa berkata, minat untuk menjadi guru sudah lama tertanam dalam dirinya, malah kegagalan dalam dua sesi temu duga Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum ini tidak pernah mematahkan semangatnya.

Katanya, bapanya juga tidak pernah jemu memberikan sokongan dan dorongan kepadanya demi memastikan impiannya untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tercapai.

“Saya pernah dua kali dipanggil temu duga IPG tetapi gagal. Kali pertama saya masih kuat, tetapi selepas gagal kali kedua saya sangat kecewa dan hampir berputus asa.

“Namun abah tidak pernah putus asa. Walaupun terpaksa menghantar saya ke sesi temu duga dan berbelanja untuk urusan tersebut, dia tetap memberi semangat supaya saya terus mencuba,” katanya.

Nur Aina Najwa berkata, pengalaman tersebut menjadi pembakar semangat untuk memilih laluan STPM bagi mencapai cita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu di UPSI.

“Saya percaya kerjaya guru mampu membantu saya membina masa depan yang lebih baik dan pada masa sama membalas jasa ibu bapa yang sentiasa menyokong saya,” katanya.

Pelajar cemerlang 5A dan 4A STPM 2025 yang menerima sijil dan wang tunai di SMK Sri Gunung. 

Anak sulung daripada tiga beradik itu turut berkongsi kaedah pembelajaran yang diamalkannya sepanjang menduduki STPM.

“Saya menggunakan teknik Pomodoro iaitu belajar selama 25 minit dan berehat lima minit. Ketika belajar saya akan memberi fokus sepenuhnya tanpa gangguan.

“Selain itu saya banyak membuat latihan menggunakan soalan-soalan tahun lepas kerana ia sangat membantu terutama ketika peperiksaan semakin hampir,” katanya yang turut melakukan kerja sambilan sebagai pembantu kedai kek semasa cuti bagi menambah pendapatan sendiri.

Sementara itu, Rosdi berkata, walaupun hidup dalam keadaan sederhana, dia dan isterinya, Maizan Abdullah, 52, sentiasa berusaha memastikan pendidikan anak-anak tidak terabai.

“Kami keluarga susah. Saya tak mampu nak bagi harta, jadi saya hanya mampu beri peluang pendidikan kepada anak-anak.

“Kalau dia mahu ubah nasib, dia kena belajar. Sebab itu saya sentiasa sokong apa sahaja yang dia mahu lakukan untuk pelajaran,” katanya.

Rosdi berkata, anaknya itu juga sangat memahami kesempitan hidup keluarga dan tidak pernah meminta perkara di luar kemampuan mereka.

“Dia tak pernah minta duit sesuka hati. Kalau perlu buku, dia akan pinjam daripada senior atau fotostat bahan yang diperlukan.

“Dia tahu keadaan keluarga dan sebab itu saya sangat bangga dengan kejayaan yang dicapainya hari ini,” katanya.

Warga SMK Sri Gunung yang mencatat kecemerlangan di peringkat daerah.

Majlis pengumuman keputusan tersebut dihadiri Pengetua SMK Sri Gunung, Azmi Awang dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bachok, Sektor Pembelajaran, Dr Azrani Mohd Zain.

SMK Sri Gunung mencatat pencapaian lulus 100 peratus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.09 sekali gus muncul sekolah terbaik di daerah Bachok bagi STPM 2025.

Seramai tiga calon memperoleh keputusan 5A PNGK 4.00, manakala dua calon meraih 4A.

Selain itu, sembilan calon mencatat PNGK 3.92, seorang memperoleh PNGK 3.84 dan dua calon PNGK 3.84, sementara 35 lagi calon berjaya memperoleh PNGK 3.50 ke atas.