Tiada kes kecurian di kawasan bencana ribut - Polis

Iklan
Muhammad Najib menunjukkan kawasan yang terjejas akibat ribut di sekitar kawasan Bercham ketika sidang media di Balai Polis Bercham di sini pada Ahad.

IPOH – Polis mengesahkan setakat ini tiada sebarang laporan jenayah atau kecurian diterima di kawasan yang terjejas akibat bencana ribut di Bercham walaupun sebahagian kediaman masih ditinggalkan sementara oleh penduduk.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya terus memperketat pemantauan terutama pada waktu malam bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kawasan yang terjejas telah dipantau dan akses dikawal di lima zon bencana bagi memastikan keselamatan penduduk serta harta benda mereka.

“Alhamdulillah setakat ini tiada laporan kejadian jenayah ataupun barang yang dicuri.

Iklan

“Pada waktu malam kita akan bertindak lebih ketat kerana terdapat kawasan seperti Anjung Bercham yang masih belum menerima bekalan elektrik sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Bercham di sini pada Ahad.

Muhammad Najib berkata, penduduk masih dibenarkan memasuki kawasan kediaman masing-masing untuk melakukan kerja pembersihan dan mengemas rumah.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Muhammad Najib berkata, setakat jam 8 pagi, sebanyak 492 laporan polis diterima berhubung kejadian ribut berkenaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 373 laporan melibatkan mangsa di zon yang terjejas manakala 119 lagi diterima daripada individu di luar kawasan bencana.

“Laporan yang diterima melibatkan kerosakan harta benda dan pelbagai kejadian lain yang dilaporkan oleh pengadu,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 5 petang Sabtu, seramai 349 keluarga telah mendaftar sebagai mangsa bencana.

Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar mungkin berbeza kerana terdapat beberapa rumah masih kosong dan ada penduduk yang memilih menginap di luar kawasan buat sementara waktu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan empat individu telah diperiksa setakat jam 1 pagi susulan kawalan akses yang dilaksanakan di kawasan terjejas.

Katanya, mereka terdiri daripada seorang kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tiga kontraktor Telekom Malaysia yang menjalankan kerja-kerja pemulihan.

Beliau berkata, nilai keseluruhan kerugian akibat bencana itu masih belum dapat dipastikan setakat ini kerana proses penilaian masih dijalankan.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, lebih 200 kediaman di Anjung Bercham terjejas susulan hujan lebat berterusan disertai angin kencang selama hampir dua jam.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Hala Tasek Timur 1; Lorong Bercham 19; Dataran Tasek Timur selain beberapa lokasi lain seperti Lintasan Tasek Timur 1 dan 3, Hala Tasek Timur 34 serta Laluan Tasek Timur 15.

Sebahagian besar rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung yang tercabut, siling bocor serta beberapa struktur lain, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam insiden tersebut.