34 sekolah Selangor dapat bilik darjah baharu, tampung murid Tahun Satu

Iklan
Keutamaan diberikan kepada pembinaan blok satu tingkat supaya ia dapat digunakan bagi menampung kemasukan murid. Gambar kecil: Shukri

SHAH ALAM - Sebanyak 34 sekolah di Selangor dijangka menerima blok bilik darjah baharu satu tingkat menjelang November atau selewat-lewatnya Disember tahun ini bagi menampung kemasukan murid Tahun Satu pada sesi persekolahan tahun depan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Shukri Ishak berkata, projek menelan belanja RM179 juta itu sedang giat dilaksanakan di seluruh negeri dengan sebahagian besar berada dalam fasa pembinaan, manakala hanya sembilan projek kecil masih di peringkat perolehan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada pembinaan blok satu tingkat supaya ia dapat digunakan bagi menampung kemasukan murid.

Shukri berkata, bagi projek pembinaan blok dua tingkat, kerja-kerja dijangka siap pada suku kedua tahun depan berikutan proses pembinaannya lebih kompleks dan memerlukan kerja rasuk serta struktur lebih besar.

Iklan

"Blok dua tingkat memerlukan kerja cerucuk dan pelbagai kerja teknikal yang lebih kompleks berbanding bangunan satu tingkat," ujar beliau.

Menurut beliau, kemajuan projek berbeza mengikut lokasi dengan sebahagiannya sudah memasuki peringkat pembinaan dinding dan pemasangan kekuda bumbung, manakala sebahagian lagi masih di peringkat asas pembinaan.

Iklan

Sinar Harian pada 5 Mei lalu melaporkan, JKR Selangor kini giat mempercepat pelaksanaan projek pembinaan bilik darjah baharu terutama melibatkan sekolah berkepadatan tinggi di seluruh negeri bagi menampung kemasukan murid Tahun 1 di negeri ini.

JKR menerima peruntukan melibatkan kira-kira 102 sekolah dan setakat ini sebanyak 41 iklan sebut harga telah dikeluarkan bagi melaksanakan kerja-kerja berkaitan.