SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan pembinaan sebuah jejambat di Persiaran Mokhtar Dahari di sini sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu keselamatan dan aliran trafik di laluan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata, cadangan itu dibangkitkan penduduk ketika sesi dialog awam yang diadakan susulan bantahan penduduk setempat mengenai beberapa kejadian kemalangan dan isu keselamatan jalan raya di kawasan terbabit.
"Antara cadangan yang dikemukakan ialah pembinaan jejambat dan saya secara peribadi bersetuju kerana walaupun ada penyelesaian jangka pendek, kita juga memerlukan penyelesaian jangka panjang," katanya ketika ditemui semasa sesi dialog awam di sini pada Ahad.
Sesi hampir tiga jam itu menghimpunkan penduduk dari Alam Budiman, Greenhill dan Puncak Alam serta beberapa taman perumahan berhampiran bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor serta agensi berkaitan bagi membincangkan penyelesaian terbaik.
Mohd Najwan yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor memberitahu, pihaknya telah berbincang dengan Pengarah JKR Selangor, Ir Shukri Ishak bagi membolehkan jabatan itu menyediakan rangka cadangan pembinaan jejambat.
Ujar beliau, cadangan itu termasuk reka bentuk dan anggaran kos sebelum perkara berkenaan dibawa untuk pertimbangan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Bagaimanapun, Najwan berkata, kos projek itu masih belum dapat ditentukan kerana JKR perlu menjalankan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu termasuk menilai keadaan tapak, bentuk muka bumi dan kemudahan utiliti sedia ada di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Shukri berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa langkah segera dan sederhana bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di Persiaran Mokhtar Dahari.
Menurut beliau, kerja penambahbaikan di kawasan Persimpangan Pulau Lumut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan kos sekitar RM50,000.
"Kerja itu dijangka bermula dalam tempoh dua minggu dan disasarkan siap dalam masa kira-kira sebulan," katanya.
Beliau berkata, selain itu JKR turut merancang projek penambahbaikan jalan bernilai kira-kira RM3 juta yang melibatkan laluan sepanjang 300 meter tertakluk kepada kelulusan peruntukan kerajaan negeri.
Katanya, projek itu memerlukan siasatan tapak dan pemetaan utiliti terlebih dahulu bagi memastikan reka bentuk yang dicadangkan mematuhi piawaian keselamatan jalan raya.
"Proses kajian awal biasanya mengambil masa sekitar dua bulan. Selepas peruntukan diperoleh, pelaksanaan projek dijangka mengambil masa antara enam bulan hingga setahun untuk disiapkan," tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin berkata, penduduk menyambut baik cadangan penyelesaian yang dibentangkan JKR Selangor dalam sesi dialog bersama penduduk yang diadakan pada Ahad.
Menurutnya, JKR memaklumkan terdapat beberapa cadangan penyelesaian termasuk tindakan segera menggunakan peruntukan jabatan, pelebaran jalan sebagai langkah jangka sederhana serta pembinaan jejambat dan penambahan lorong sebagai penyelesaian jangka panjang.
"Paling penting sekarang ialah kelulusan peruntukan supaya semua perancangan yang telah dibincangkan dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
Jelas beliau, kelulusan segera daripada kerajaan negeri dapat membantu meredakan kegusaran penduduk yang sudah lama berdepan isu keselamatan dan kesesakan di laluan berkenaan.
"Kita yakin jika peruntukan diluluskan, JKR sebagai agensi pelaksana boleh terus menjalankan kerja yang diperlukan demi keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat," katanya.
Sinar Harian pada 13 Jun lalu melaporkan, kira-kira 5,000 penduduk Taman Alam Budiman bersama ribuan pengguna jalan raya dari Puncak Alam, Saujana Utama, Setia Alam dan kawasan sekitarnya terus dihantui kebimbangan apabila melalui Persiaran Mokhtar Dahari yang didakwa merekodkan kemalangan berulang sejak hampir 10 tahun lalu.