JAKARTA – Majlis Ulama Indonesia (MUI) menggesa kerajaan dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) segera menggubal undang-undang khusus bagi melarang aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), termasuk kempen yang mempromosikan golongan tersebut di ruang awam.
Naib Pengerusi Umum MUI, KH M Cholil Nafis berkata, Indonesia ketika ini belum mempunyai asas perundangan yang cukup kuat untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam aktiviti serta kempen berkaitan LGBT.
Beliau mendakwa ketiadaan peruntukan undang-undang khusus menyebabkan fenomena itu semakin membimbangkan dan berpotensi memberi kesan kepada masyarakat.
“Kita tidak mempunyai dasar hukum yang kuat untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku mahupun pihak yang berkempen untuk LGBT. Kami menggesa wakil rakyat dan kerajaan menetapkan peraturan yang jelas serta tegas mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Cholil turut mendakwa wujud gerakan yang disifatkannya sebagai tersusun dan mendapat pengaruh luar bagi mempengaruhi pandangan masyarakat Indonesia terhadap LGBT.
Menurut beliau, golongan muda terutama pelajar institusi pengajian tinggi didakwa menjadi sasaran utama untuk menormalisasikan gaya hidup tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih peka dan berani menyuarakan pendirian masing-masing bagi mempertahankan nilai moral serta norma sosial negara.
“Golongan yang waras perlu bersuara. Mereka tidak boleh hanya berdiam diri,” katanya.
MUI juga menggesa masyarakat memperkukuh institusi keluarga serta meningkatkan pengawasan dalam komuniti termasuk di kawasan perumahan, rumah sewa, apartmen dan premis hiburan bagi mengelakkan pengaruh yang dianggap bertentangan dengan nilai agama dan budaya tempatan.
Dalam pada itu, Cholil menegaskan hak individu di Indonesia tidak bersifat mutlak kerana tertakluk kepada prinsip Pancasila, Perlembagaan negara serta ajaran agama.
Beliau berpendapat kebebasan peribadi tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan perkara yang dianggap bertentangan dengan norma agama dan masyarakat.
Katanya, semua agama yang diiktiraf secara rasmi di Indonesia tidak menerima amalan LGBT, justeru usaha mengekang fenomena tersebut perlu mendapat sokongan semua pihak.
Setakat ini, kerajaan Indonesia belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung gesaan MUI supaya undang-undang khusus berkaitan larangan LGBT digubal.- Agensi