Ops Bersepadu: 10 lelaki ditahan, empat memandu mabuk

Iklan
Anggota JSPT Negeri Sembilan menjalankan ujian pernafasan alkohol menggunakan alat pengesan (breathalyzer) terhadap pemandu kenderaan yang ditahan menerusi sekatan jalan raya di Jalan Sungai Ujong. Foto Bernama

SEREMBAN - Polis menahan 10 lelaki termasuk empat pemandu mabuk dan seorang positif dadah dalam Operasi Bersepadu, Ops Samseng dan Ops Samseng Jalanan, yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, operasi dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Seremban bermula jam 5 petang semalam hingga 4 pagi tadi turut menahan lima individu dipercayai terlibat dalam kegiatan samseng jalanan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, 115 individu dan 105 kenderaan diperiksa sepanjang operasi di empat lokasi utama, iaitu Jalan Sungai Ujong, Jalan Lingkaran Tengah, Jalan Bukit Kepayang dan Jalan Rasah, yang melibatkan tiga pegawai serta 24 anggota polis.

"Pada operasi itu kita menahan empat lelaki yang memandu dalam pengaruh alkohol, seorang positif dadah jenis THC dan lima lelaki dipercayai terlibat dalam samseng jalanan yang kesemuanya berusia antara 19 hingga 30 tahun.

Iklan

Mohd Yatim berkata, bagi Ops Samseng Jalanan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Empat pemandu yang ditahan akibat mabuk pula disiasat di bawah Seksyen 45A(1) akta sama selepas didapati memandu melebihi had kandungan alkohol yang dibenarkan, selain membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap individu positif dadah.

Iklan

Turut disita lima motosikal di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama