SUBANG JAYA - Seorang wanita menempuh detik mencemaskan apabila individu tidak dikenali menceroboh kawasan belakang rumah keluarganya di Taman Puchong Prima di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3 petang.
Menurutnya, pengadu memaklumkan menerima panggilan daripada adik perempuannya yang melihat kelibat seorang lelaki mencurigakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman berkenaan.
"Hasil pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati tiada sebarang kehilangan atau kerosakan harta benda dilaporkan berlaku di premis tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Wan Azlan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti suspek yang terlibat.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu atau sebarang aktiviti mencurigakan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627222 bagi membantu siasatan.
"Segala maklumat dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.