PARBHANI - Sekurang-kurangnya tujuh individu maut manakala 25 lagi cedera selepas bumbung sebuah dewan yang masih dalam pembinaan di sebuah kuil Hanuman di Kampung Yashwadi, daerah Parbhani, Maharashtra runtuh pada Sabtu.
Kejadian berlaku ketika ratusan penganut berkumpul untuk menghadiri upacara keagamaan mingguan dan jamuan komuniti di kompleks kuil berkenaan.
Menurut pihak berkuasa daerah, seramai 32 mangsa berjaya dikeluarkan daripada timbunan runtuhan, namun tujuh daripadanya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Operasi menyelamat yang berlangsung kira-kira dua setengah jam melibatkan anggota polis, pasukan pengurusan bencana, Jabatan Kerja Raya serta penduduk setempat.
Dewan yang runtuh terletak di hadapan bangunan utama kuil dan digunakan untuk pelbagai aktiviti keagamaan serta pengagihan makanan percuma atau mahaprasad.
Insiden itu mencetuskan suasana panik apabila para penganut bertempiaran menyelamatkan diri sebaik struktur terbabit runtuh secara tiba-tiba.
Pasukan bomba dari Pathri dan pihak berkuasa tempatan segera dikerahkan ke lokasi, manakala beberapa ambulans digunakan bagi membawa mangsa yang cedera ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Ketua Menteri Maharashtra, Devendra Fadnavis, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengumumkan bantuan kewangan sebanyak 500,000 rupee (RM21,900) kepada waris setiap mangsa yang terkorban.
Beliau berkata, pihak pentadbiran tempatan telah diarahkan untuk memastikan operasi bantuan, rawatan serta sokongan kepada keluarga mangsa dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan. - Agensi