Sidang Parlimen: Suara siapa akan didengar?
DEWAN Rakyat kembali bersidang pada 22 Jun. Seperti kebiasaan, kenyataan akan sarat kata-kata besar seperti ‘membela rakyat’, ‘memperjuangkan kepentingan negara’, ‘kerajaan tidak prihatin’, ‘pemimpin gagal’, ‘memperkukuh ekonomi’ atau ‘pembangkang tidak bersatu’. Seperti biasa juga, rakyat akan membaca semua itu dengan satu reaksi paling jujur: bila nak berubah!
Kalau kita jujur, masalah utama negara hari ini bukan kekurangan perbahasan tetapi kekurangan kesan perbahasan. Ambil sahaja isu kos sara hidup. Ia bukan lagi sekadar topik ekonomi, tetapi sudah menjadi tekanan harian. Kerajaan mengakui harga barang meningkat memberi kesan kepada peniaga serta pengguna. Pakar juga menegaskan punca utama tekanan ini termasuk gaji yang masih rendah dan tidak meningkat signifikan serta peluang pekerjaan bergaji baik yang terhad.