BANDUNG - Seorang wanita di Indonesia melalui detik hitam setelah dikurung dan 'dicacatkan' oleh teman lelakinya selama tiga tahun.
Mangsa dikenali sebagai YTR, 29, ditemui sudah buta, lumpuh dan mengalami kesukaran untuk bercakap kerana mulutnya sumbing.
Keadaan wanita itu didedahkan adiknya, Syahrul Ulum yang mendakwa mangsa meninggalkan rumah pada 2023.
"Ketika itu, dia sering berhubung dengan seorang lelaki yang dikenali ketika menghadiri konsert di Bandung. Tidak lama kemudian, kakak saya hilang tanpa khabar berita.
"Kami pernah cuba menjejakinya, namun tidak menemui sebarang petunjuk keberadaannya," ujarnya lagi.
YTR akhirnya diselamatkan pemilik rumah sewa yang berasa curiga. Dia dibawa dalam keadaan teruk untuk mendapatkan rawatan di rumah sakit.
Keluarga mangsa kemudiannya dimaklumkan tentang YTR yang mengalami kecederaan serius pada seluruh tubuhnya.
Selain didera secara fizikal, YTR juga kehilangan barang berharga dan mengalami kerugian dianggarkan mencecah 52 juta rupiah (RM12,100).
Mangsa masih dirawat untuk memulihkan kecederaan fizikal dan mental dialaminya.
Difahamkan, pihak berkuasa kini giat memburu kekasihnya yang bertindak melarikan diri. - Agensi