SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini kononnya berlaku kebocoran data peribadi rakyat melibatkan sistem jabatan tersebut.
JPN berkata, dakwaan dikitar semula itu merujuk kepada insiden yang telah ditangani pada 2021 serta 2022, melibatkan sebuah agensi luar.
Menurut jabatan berkenaan, agensi luar itu menyimpan data yang dikongsi bagi tujuan penyampaian perkhidmatan.
"Susulan insiden tersebut, laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat, manakala mekanisme perkongsian data dengan agensi luar turut diperkukuh serta diperketatkan.
"Jabatan ingin menegaskan tiada sebarang kebocoran data, transaksi mencurigakan atau kompromi keselamatan pernah berlaku melibatkan sistem teras JPN.
"Sistem JPN kekal beroperasi dengan tahap kawalan keselamatan yang tinggi serta dipantau berterusan bagi memastikan data rakyat sentiasa dilindungi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
JPN turut memberi jaminan akan terus memperkukuh langkah keselamatan siber dan tadbir urus data bagi memastikan integriti, kerahsiaan serta keselamatan maklumat rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.
Tular di Threads apabila pengguna platform itu kembali membahas isu kebocoran data peribadi rakyat Malaysia termasuk ahli Parlimen, pempengaruh dan menteri antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Sinar Harian pada September tahun lalu turut melaporkan tentang seorang pengguna yang mendakwa data peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon, rekod pendaftaran dan lesen kenderaan, maklumat sulit perbankan, bahkan informasi perniagaan milikan sendiri telah bocor di sebuah laman sesawang Caghi.com.
Susulan itu, Fahmi memaklumkan bahawa portal tersebut telah pun disekat oleh MCMC sejak Jun 2022.