Ahli Parlimen Jasin, isteri terlibat kemalangan

Iklan
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di persimpangan Jelatang, Lebuh AMJ awal pagi Sabtu. Foto: PDRM Melaka

ALOR GAJAH – Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan isterinya terbabit dalam kemalangan selepas kenderaan yang dinaiki mereka tidak sempat mengelak sebuah Perodua Axia yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Jelatang, Lebuh AMJ di sini, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, Nissan Teana yang dipandu Zulkifli bersama isterinya dalam perjalanan ke Selangor bagi menghadiri program muslimat bertembung dengan sebuah Perodua Axia yang dinaiki empat wanita.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar, berkata kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu Zulkifli sedang meneruskan perjalanan di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Perodua Axia yang datang dari arah Alor Gajah menghala ke Gadek dipercayai telah memasuki persimpangan sebelum berlaku pelanggaran.

Iklan

“Perodua Axia berkenaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah, mengakibatkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Zulkifli (kiri) hanya mengalami luka kecil di bahagian tangan susulan kejadian itu. Foto: PDRM Melaka.

Iklan

Menurutnya, Zulkifli mengalami luka pada kedua-dua tangan manakala isterinya mengadu sakit dada.

“Pemandu Perodua Axia yang merupakan seorang pekerja kilang berusia 30 tahun pula mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan tulang pinggul serta sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Tiga lagi penumpang kenderaan tersebut mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan lanjut.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Loh Gia Xao di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah bagi membantu siasatan.