SHAH ALAM – Pengguna TikTok yang dikaitkan dengan kontroversi ketika bercuti di China tampil membuat permohonan maaf menerusi satu hantaran video di platform berkenaan pada Sabtu.
Dalam hantaran berkenaan, Nur Asyiqin Mohd Dalil berkata, dia dengan rendah hati dan penuh ikhlas memohon maaf atas isu yang tular iaitu kekhilafan reaksi spontannya ketika bercuti di negara tersebut pada 15 Jun lalu.
"Saya faham dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya yang telah menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.
"Saya menghormati pandangan, teguran dan perasaan semua pihak serta tidak pernah berniat untuk menyinggung, mengaibkan atau menimbulkan sebarang konflik kerana ketika itu hanyalah reaksi spontan yang bukanlah dirancang.
"Saya menerima dan mengambil maklum setiap teguran yang diberikan dengan hati yang terbuka," katanya.
Menurutnya, dia menyesali perbuatan tersebut dan menginsafi akan tindakannya yang keterlaluan.
Ujarnya, daripada kejadian itu dia akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan akan lebih peka kepada sensitiviti masyarakat awam.
"Akhir kata, saya sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.
"Saya berjanji akan menjadikan pengalaman ini sebagai iktibar untuk menjadi individu yang lebih matang dan bertanggungjawab pada masa akan datang," katanya.
Sebelum ini, sebuah video yang tular di media sosial memaparkan beberapa rakyat Malaysia dipercayai mengeluarkan kata-kata menghina seperti"busuk" dan"tak mandi" ketika berada di kawasan awam di China.
Dalam rakaman itu, mereka turut dilihat menutup hidung secara sengaja, tindakan yang mengundang kritikan hebat daripada pengguna media sosial di Malaysia serta warga China.
Video berkenaan juga dilaporkan mendapat perhatian meluas di platform media sosial negara itu dan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat setempat