Truck Fighter 2.0 lepasi sasaran awal, disertai lebih 3,000 pengunjung 

Iklan
Pelbagai acara menarik diadakan bagi memenuhi minat pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

SERDANG – Program Truck Fighter & Meet Show 2.0 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di sini menerima sambutan memberangsangkan apabila kehadiran pengunjung melepasi 3,000 orang setakat tengah hari pada Sabtu.

Penganjur dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu dijangka terus meningkat dengan sasaran keseluruhan seramai 5,000 pengunjung menjelang program yang berakhir lewat malam nanti.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, sambutan menggalakkan ini mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap pelbagai aktiviti dan pengisian yang disediakan sepanjang penganjuran program berkenaan.

“Pelbagai acara menarik masih berlangsung bagi memenuhi minat pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk peminat kenderaan pacuan empat roda (4WD), penggiat industri automotif serta komuniti sukarelawan.

Iklan

“Orang ramai yang masih belum berkesempatan hadir turut dijemput memeriahkan program berkenaan dan menikmati pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh pihak penganjur,” menurut penganjur.

Program Truck Fighter & Meet Show 2.0 yang berlangsung di MAEPS, Serdang menerima sambutan memberangsangkan.

Iklan

Sebelum ini, Program Truck Fighter & Meet Show 2.0 yang dianjurkan oleh Zaki GM Garage Sdn Bhd dijangka menghimpunkan lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dari seluruh negara dengan anggaran kehadiran 5,000 pengunjung.

Penganjur memaklumkan, program tersebut bertujuan memperkukuh solidariti komuniti pemilik 4WD yang sering memainkan peranan penting sebagai pasukan sukarelawan barisan hadapan ketika berlakunya bencana alam, khususnya dalam operasi menyelamat dan bantuan banjir.

Menurut penganjur, acara itu juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta membina jaringan kerjasama antara usahawan bengkel 4WD di Selangor dan negeri lain, sekali gus memberi impak positif kepada perkembangan industri automotif tempatan.

Program berkenaan merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran edisi pertama yang berlangsung di perkarangan Stadium Shah Alam pada Mei tahun lalu.

Lebih menarik, acara kali ini turut disertai beberapa organisasi komuniti 4WD dari Thailand dan Singapura, sekali gus menjadikannya platform pertemuan komuniti serantau selain mempromosikan industri automotif negara.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran kenderaan 4WD, pertandingan autoshow membabitkan 21 kategori, aktiviti off-road, gerai jualan, pameran industri serta cabutan bertuah.

Bagi menambah keterujaan peserta, pihak penganjur menawarkan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kenderaan Isuzu D-Max selain pelbagai hadiah sampingan menarik.

Penganjur berharap penganjuran kali ini mendapat sambutan berterusan daripada komuniti pemilik dan peminat 4WD di Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan mereka sebagai rakan strategik dalam membantu masyarakat ketika berdepan situasi kecemasan dan bencana alam.