KUALA LUMPUR – Enam individu termasuk tiga warga asing diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah yang mengakibatkan mangsa kerugian lebih RM13,000 dalam kejadian di Taman Bukit Cheras di sini pada April lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Mohd Rosdi Daud berkata, kesemua suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu menerusi operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
“Suspek yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Myanmar, seorang wanita warga Indonesia serta dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an.
“Kami turut merampas pelbagai barangan antaranya enam utas jam tangan mewah, tujuh beg tangan berjenama, tujuh telefon bimbit, sebuah komputer riba permainan, sebilah parang sepanjang 25 inci dan sepasang sarung tangan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Rosdi berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek tempatan mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Siasatan awal turut mendapati suspek utama warga Myanmar dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya enam lagi kes pecah rumah di sekitar daerah Cheras,” katanya.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis berhubung kejadian pecah rumah di Taman Bukit Cheras pada 25 April lalu yang melibatkan kehilangan barang kemas, gajet serta wang tunai dalam pelbagai mata wang asing.
“Kesemua suspek direman sehingga 9 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.