Dasar luar berkecuali, terbuka Malaysia buka peluang baharu ekonomi - PM

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama

BATU KAWAN - Komitmen Malaysia yang terlibat dengan semua negara sambil mengekalkan dasar yang terbuka dan berkecuali telah memperkukuh keyakinan antarabangsa terhadap negara sekali gus mewujudkan peluang baharu untuk kerjasama ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu telah membolehkan Malaysia menjalin hubungan kukuh dengan negara-negara merentasi blok geopolitik berbeza, yang membawa manfaat ekonomi ketara, termasuk yang terkini perjanjian terbaru Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Turkmenistan.

Iklan
Iklan

"Kita telah mengadakan (perbincangan) dengan Amerika Syarikat, Presiden Donald Trump yang berada di sini tahun lepas, dan kemudian kita mengadakan lawatan ke China, India, dan baru-baru ini ke Rusia… menunjukkan kepentingan kita, pendirian yang diambil Malaysia adalah untuk memastikan kita menjalin hubungan dengan semua negara sambil mengekalkan pendirian terbuka dan berkecuali kita.

"Kita menyatakan pendirian kita dalam beberapa isu yang menimbulkan konflik yang menjejaskan dunia tetapi kita mengalu-alukan penyertaan semua,” kata beliau semasa berucap pada majlis perasmian Kilang MKS Super Center di Taman Teknologi Bandar Cassia, di sini, hari ini.

Iklan

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MKS John T.C Lee.

Anwar berkata penglibatan Malaysia dengan kuasa besar global, termasuk Amerika Syarikat, China, India dan Rusia, menunjukkan komitmen negara terhadap kerjasama antarabangsa yang membina dan dalam masa yang sama melindungi kepentingan nasionalnya.

Iklan

Sementara itu, mengenai perkembangan terkini, beliau berkata Turkmenistan telah bersetuju untuk menganugerahkan Petronas pembangunan dua blok gas utama, termasuk satu daripada lapangan gas terbesar di dunia, yang mencerminkan keyakinan kerajaan asing terhadap keupayaan, kestabilan dan profesionalisme Malaysia.

Beliau berkata, kejayaan meraih perjanjian dengan Turkmenistan itu adalah hasil langsung daripada usaha Malaysia untuk membina hubungan yang saling memberi mafaat dengan negara-negara di seluruh dunia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan keyakinan pelabur antarabangsa penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan kemajuan masa depan dengan memberi contoh pelaburan berterusan daripada syarikat global utama dalam sektor strategik seperti semikonduktor.

Perdana Menteri berkata kejayaan Pulau Pinang dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi menunjukkan bahawa dasar yang jelas, pentadbiran yang cekap dan kerenah birokrasi yang dikurangkan dapat memperkukuh daya saing Malaysia.

Beliau berkata, negara perlu terus melabur dalam pembangunan bakat, pendidikan dan kerjasama industri bagi menyokong sektor baharu seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan canggih.

"Daya saing Malaysia pada masa depan bukan bergantung kepada kos rendah tetapi pada keupayaan canggih perindustriannya dan kumpulan bakat berkualiti tinggi," kata Anwar.

Beliau juga menggesa kerjasama lebih erat antara universiti dan pemain industri bagi memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran diperlukan untuk teknologi baharu yang berkembang pesat, sambil mengekalkan tumpuan pendidikan terhadap nilai, kemanusiaan dan belas kasihan.- Bernama