MELAKA-Seorang penduduk Rumah Pangsa Lereh yang sedang menjala ikan di sungai berhampiran terkejut apabila seekor anak buaya tembaga dianggarkan seberat 10 kilogram tersangkut pada jalanya dalam kejadian pada pagi Sabtu.
Penduduk berkenaan, Mohd Rafi Musa, 36, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi ketika dia menjala ikan untuk makan sendiri di Sungai Lereh.
Menurutnya, penemuan buaya di kawasan itu bukan perkara baharu kerana sebelum ini dia dan penduduk lain pernah terserempak dengan beberapa ekor reptilia berkenaan.
“Dah banyak kali jumpa buaya di sungai ini. Kali ini yang tersangkut pada jala cuma anak buaya, pernah juga nampak yang lebih besar.
“Dianggarkan ada lima ekor buaya di Sungai Lereh termasuk dua daripadanya sering kelihatan di bawah jambatan,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Mohd Rafi berkata, walaupun buaya di kawasan itu tidak agresif dan tidak pernah mengganggu penduduk, dia tetap bimbang terhadap keselamatan kanak-kanak yang sering bermain berhampiran sungai tersebut.
“Bila buaya itu tersangkut pada jala, saya terus menangkapnya sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Mula-mula memang agresif dan cuba menggigit saya. Saya terpaksa mengikat mulutnya dengan tali sebelum menarik dan memasukkannya ke dalam guni. Ada juga terkena gigitan sedikit ketika proses itu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung penemuan reptilia tersebut berkata, pihaknya telah memohon Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memasang papan tanda amaran buaya di sepanjang Sungai Lereh.
Menurutnya, langkah itu penting bagi meningkatkan kesedaran penduduk setempat terutama penghuni Rumah Pangsa Lereh yang tinggal berdekatan habitat reptilia berkenaan.
“Saya dapati ramai kanak-kanak bermain dan berkeliaran berhampiran sungai, jadi saya harap persatuan penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dapat memberi perhatian terhadap aspek keselamatan ini.
“Sungai Lereh sememangnya menjadi habitat buaya, jadi semua pihak perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan atau berada di kawasan berhampiran sungai,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi Perhilitan sekiranya terlihat buaya dan tidak mengambil tindakan menangkap haiwan liar itu sendiri kerana boleh membahayakan keselamatan.
“Jika nampak buaya, hubungi Perhilitan yang lebih pakar dalam mengendalikan situasi seperti ini. Menangkap sendiri mungkin mengundang risiko kepada individu dan komuniti sekitar,” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga telah berbincang dengan Perhilitan supaya pemantauan berkala dapat dilakukan di kawasan berkenaan bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal.
Dalam pada itu, anggota Perhilitan tiba di lokasi kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum mengambil anak buaya tersebut untuk tindakan lanjut.