BATU KAWAN - Malaysia mengalu-alukan perkembangan positif dalam hubungan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) yang dilihat mampu meredakan ketegangan di Timur Tengah serta menyokong kestabilan ekonomi global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan tersebut merupakan berita baik bukan sahaja kepada negara-negara di rantau berkenaan malah kepada seluruh dunia kerana sebarang konflik di Timur Tengah boleh memberi kesan langsung kepada perdagangan antarabangsa, rantaian bekalan dan kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang sedang berkembang amat mengalu-alukan sebarang usaha ke arah perdamaian dan penyelesaian diplomatik antara kedua-dua negara.
“Saya amat gembira apabila mendapat maklumat mengenai perkembangan positif dan persefahaman awal antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Ini berita baik kepada semua kerana sebarang gangguan di rantau tersebut akan memberi kesan kepada industri, ekonomi serta kos sara hidup rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Pembukaan MKS Instruments Malaysia Sdn Bhd Pulau Pinang di sini pada Sabtu.
Anwar menambah, kerajaan Malaysia turut menyampaikan pandangan kepada kepimpinan AS dan Iran mengenai kepentingan mengekalkan keamanan demi kestabilan serantau dan global.
Katanya, keamanan yang berkekalan amat penting kerana gangguan di Timur Tengah boleh menjejaskan pelbagai sektor ekonomi dunia termasuk pelaburan, perdagangan dan industri.
Beliau bagaimanapun turut berharap negara-negara di rantau berkenaan termasuk negara Arab dan Israel dapat memainkan peranan bagi memastikan keamanan terus terpelihara.
Menurutnya, ramai tidak menyedari bahawa pergolakan yang berlaku jauh dari Malaysia sebenarnya memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat melalui peningkatan harga barangan dan ketidaktentuan ekonomi.
“Ramai tidak menyedari bahawa pergolakan di tempat yang jauh boleh menjejaskan kehidupan seharian rakyat. Yang paling terkesan ialah golongan miskin dan terpinggir.
“Apabila harga meningkat dan ekonomi terjejas, mereka inilah yang paling menanggung beban,” ujarnya lagi.
Anwar turut menegaskan bahawa konflik yang berpanjangan sehingga menyebabkan kesengsaraan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana golongan miskin dan terpinggir sentiasa menjadi pihak yang paling terkesan.
“Ini amat tidak wajar dan sangat kejam apabila kesukaran yang begitu besar terpaksa ditanggung oleh rakyat biasa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Iran pada Khamis mengesahkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian dengan Washington untuk menamatkan perang di Asia Barat, seperti yang diumumkan lebih awal oleh Presiden AS, Donald Trump.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, Teks Memorandum Persefahaman Islamabad telah dimuktamadkan dengan tandatangan kedua-dua presiden dan kini tiba masanya untuk menguji pelaksanaan perjanjian itu.