KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima Anugerah Perdana Keselamatan Perlindungan Tahun 2025 sekali gus mengekalkan Penarafan 5 Bintang (Cemerlang) bagi aspek keselamatan perlindungan.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kejayaan itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh keselamatan perlindungan, tadbir urus serta pengurusan maklumat.
Menurut beliau, pencapaian tersebut adalah hasil dedikasi dan semangat kerja berpasukan seluruh warga PTPTN dalam memastikan keselamatan maklumat, aset serta kepentingan strategik organisasi sentiasa terpelihara.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan warga PTPTN, malah menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh budaya keselamatan perlindungan dan tadbir urus yang cemerlang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Anugerah berkenaan disampaikan pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan dan Peluncuran Sistem Pengurusan Keselamatan Perlindungan (e-PS) serta Sistem e-Vetting 3.0 yang berlangsung di Dewan Damar Sari 1 dan 2, Putrajaya baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, dalam penilaian melibatkan 118 agensi, sebanyak 50 agensi berjaya memperoleh Penarafan 5 Bintang (cemerlang), manakala hanya enam agensi terbaik dengan markah keseluruhan tertinggi dipilih menerima Anugerah Perdana Keselamatan Perlindungan.
Katanya lagi, PTPTN berada dalam kelompok enam agensi terbaik itu sekali gus membuktikan kecemerlangan organisasi dalam mengurus aspek keselamatan perlindungan mengikut standard yang ditetapkan.
“Setiap warga PTPTN memainkan peranan penting dalam memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan disiplin tinggi selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO),” ujarnya.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, katanya, PTPTN akan terus memperkasakan aspek keselamatan perlindungan menerusi penambahbaikan berterusan, pemerkasaan teknologi digital dan pengukuhan tadbir urus organisasi.