BATU KAWAN - Keputusan Turkmenistan menyerahkan dua blok gas utama kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merupakan perkembangan luar biasa yang mencerminkan keyakinan tinggi negara itu terhadap keupayaan Malaysia dalam industri minyak dan gas global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian yang dimeterai ketika lawatan rasminya ke Turkmenistan itu membolehkan Petronas terlibat dalam pembangunan antara medan gas terbesar di dunia.
Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan hasil hubungan diplomatik yang kukuh serta reputasi Malaysia sebagai negara yang stabil, aman dan dipercayai di peringkat antarabangsa.
“Turkmenistan merupakan antara negara yang mempunyai rizab gas terbesar dunia dan semalam kita menandatangani perjanjian penting yang membolehkan Petronas mengendalikan dua blok utama yang melibatkan salah satu medan gas terbesar dunia.
Anwar menambah, kejayaan itu tidak berlaku secara kebetulan sebaliknya hasil komitmen berterusan Malaysia dalam menjalinkan hubungan baik dengan pelbagai negara tanpa mengira blok geopolitik.
"Petronas yang telah beroperasi di Turkmenistan selama hampir 30 tahun kini diberi peluang lebih besar untuk mengembangkan operasi susulan kepercayaan tinggi yang diberikan oleh negara berkenaan.
"Perkembangan itu juga membuktikan keupayaan syarikat Malaysia untuk bersaing dan memainkan peranan penting dalam industri tenaga global.
“Ini hasil kerja keras, komitmen dan kesungguhan kita untuk menjadi sahabat kepada semua negara serta membina kerjasama yang memberi manfaat bersama,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, Malaysia dan Turkmenistan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga di samping memperluaskan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan, pengangkutan, pendidikan dan teknologi susulan lawatan rasmi Anwar ke negara itu.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas lawatan tersebut, kedua-dua negara menegaskan semula komitmen untuk mengukuhkan hubungan serta meneroka bidang kerjasama baharu demi pertumbuhan ekonomi bersama.
Sektor minyak dan gas menjadi antara fokus utama perbincangan, dengan kedua-dua pemimpin mengiktiraf operasi Petronas selama tiga dekad di Turkmenistan serta sumbangannya kepada industri tenaga negara berkenaan.
Kedua-dua pihak turut mengalu-alukan pemeteraian beberapa perjanjian melibatkan Petronas dan syarikat tenaga milik kerajaan Turkmenistan termasuk kerjasama yang bertujuan memperluaskan aktiviti huluan minyak dan gas serta menyokong pembangunan sumber hidrokarbon negara itu.