20 asnaf terima motosikal, zakat jadi pemangkin keluar daripada kitaran kemiskinan

Iklan
Mohamad (tengah) bersama 20 asnaf yang menerima motosikal dan kelengkapan penghantaran menerusi Program iTEKAD CIMB Islamic-MAINPP Entrepreneur.

KEPALA BATAS – Seramai 20 peserta asnaf terpilih menerima motosikal dan kelengkapan penghantaran menerusi Program iTEKAD CIMB Islamic-MAINPP Entrepreneur dalam usaha memperkasa golongan tersebut menjana pendapatan mampan serta keluar daripada kitaran kemiskinan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, program berkenaan membuktikan zakat tidak lagi hanya berperanan sebagai bantuan kebajikan semata-mata sebaliknya menjadi instrumen pembangunan ummah yang mampu melahirkan individu berdikari dan berdaya saing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bantuan yang diberikan bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, malah membuka peluang kepada asnaf membina masa depan yang lebih stabil dan sejahtera.

“Program iTEKAD CIMB Islamic-MAINPP Entrepreneur pada hari ini membuktikan bahawa zakat bukan sekadar menyantuni keperluan semasa malah berperanan membina masa depan.

Iklan

“Bantuan yang diberikan hadir dalam bentuk aset produktif, latihan, bimbingan dan sokongan berterusan bagi membolehkan para peserta menjana pendapatan secara mampan, berdikari serta keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Motosikal kepada Peserta Program iTEKAD CIMB Islamic-MAINPP Entrepreneur di Bertam Resort, di sini pada Jumaat.

Mohamad (tiga dari kiri) memberi kelengkapan penghantaran kepada salah seorang asnaf yang layak menerusi Program iTEKAD CIMB Islamic-MAINPP Entrepreneur.

Iklan

Beliau berkata, majlis berkenaan bukan sekadar simbolik penyerahan bantuan sebaliknya merupakan usaha bersepadu untuk memperkasa golongan asnaf melalui peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan yang lebih mampan.

Katanya, penyerahan motosikal tersebut juga membawa amanah para muzakki selain membuka jalan rezeki kepada penerima untuk mengubah kehidupan mereka.

“Ini adalah hakikat sebenar zakat yang membangunkan daripada bantuan kepada pemerkasaan, daripada kebergantungan kepada kemandirian dan daripada penerima kepada penyumbang,” ujarnya.

Mohamad menambah, slogan ‘Transformasi Asnaf Melalui Zakat’ yang dibawa Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencerminkan perubahan pendekatan dalam pengurusan zakat masa kini.

Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara CIMB Islamic Bank Berhad dan MAINPP melalui Zakat MAINPP bersama rakan pelaksana iaitu Yayasan Belia Malaysia, Taylor’s Community serta foodpanda Malaysia.

Mohamad (tengah) bersama 20 asnaf yang menerima motosikal dan kelengkapan penghantaran menerusi Program iTEKAD CIMB Islamic-MAINPP Entrepreneur.

“Gabungan kepakaran dan peranan setiap pihak membuktikan bahawa pembangunan asnaf tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya memerlukan sinergi, keikhlasan dan komitmen bersama.

"Peserta yang terpilih menerima sebuah motosikal berserta kelengkapan penghantaran selain diberikan latihan, pendedahan keusahawanan, disiplin kerja, pengurusan asas kewangan dan bimbingan berterusan," ujarnya.

Program tersebut digerakkan melalui dana pemula berjumlah RM400,000 dalam bentuk geran padanan yang melibatkan sumbangan RM200,000 daripada dana Wakalah Zakat CIMB Islamic Bank Berhad dan RM200,000 daripada Bank Negara Malaysia.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sebanyak 151 permohonan diterima oleh Zakat MAINPP bagi menyertai program berkenaan sebelum peserta melalui proses saringan ketat termasuk sesi temu duga dan Kem Keusahawanan Bermukim (BootCamp) yang berlangsung dari 31 Mei hingga 3 Jun lalu.

“Hasil penilaian yang dibuat, seramai 20 peserta terbaik telah dipilih untuk menerima geran motosikal pada hari ini.

“Penyerahan motosikal dan kelengkapan foodpanda kepada peserta yang berjaya ini menjadi lambang kepercayaan bahawa mereka mempunyai potensi untuk berjaya dan mengubah kehidupan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, program tersebut turut selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan ummah secara menyeluruh meliputi aspek pendidikan, ekonomi, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiah.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga Pengerusi Zakat MAINPP mengingatkan penerima supaya memanfaatkan bantuan yang diterima sebagai amanah dan modal perubahan hidup.

“Gunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya. Jagalah keselamatan ketika bekerja, peliharalah disiplin dan sentiasalah menjaga nama baik diri, keluarga serta institusi yang telah membantu menjayakan program ini.

“Hari ini saudara-saudari mungkin bermula sebagai penghantar makanan. Namun dengan ilmu, kesungguhan dan bimbingan yang betul, tidak mustahil pada masa hadapan saudara-saudari mampu menjadi pemilik perniagaan, majikan, pembayar zakat malah contoh kejayaan kepada asnaf lain,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CIMB Islamic Bank Berhad, Bank Negara Malaysia, Yayasan Belia Malaysia, Taylor’s Community, foodpanda Malaysia dan warga kerja Zakat MAINPP yang menjayakan program tersebut.

Katanya, kerjasama antara institusi kewangan Islam, institusi zakat, badan belia, institusi latihan dan pemain industri mampu membentuk ekosistem pemerkasaan yang membuka jalan keluar daripada kemiskinan.

Ends.