Terdesak bayar hutang, warga asing masuk Malaysia secara haram

Iklan
Wanita yang bekerja di sebuah pusat urut tradisional itu mendakwa keluarganya terpaksa membuat pinjaman bagi menampung kos kehidupan sehingga menyebabkan mereka dibebani hutang yang besar.

KUALA LUMPUR –"Keluarga saya berhutang berpuluh-puluh ribu ringgit, sebab itu saya terpaksa datang ke Malaysia untuk bekerja dan membantu mereka membayar hutang."

Demikian luahan seorang wanita warga asing yang hanya mahu dikenali sebagai Lili selepas ditahan dalam Ops Kutip Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Pasar Pudu pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Wanita yang bekerja di sebuah pusat urut tradisional itu mendakwa keluarganya terpaksa membuat pinjaman bagi menampung kos hidup sehingga menyebabkan mereka dibebani hutang yang besar.

Menurutnya, dia memasuki negara ini secara haram kerana terdesak untuk mencari pekerjaan dan membantu keluarganya.

Iklan

"Saya tahu apa yang saya buat salah, tetapi saya tiada pilihan. Keluarga saya menanggung hutang yang banyak dan saya perlu bekerja untuk membantu mereka.

Lili berkata, dia ditahan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Iklan

Sementara itu, seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Rahman mengakui cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana bimbang ditahan.

Kebanyakan yang diperiksa dipercayai bekerja di pasar berhampiran termasuk sebagai pembantu kedai, pekerja am dan penjaja.

Lelaki yang mendakwa telah berada di Malaysia sejak 10 tahun lalu itu berkata, pasport miliknya telah tamat tempoh dan belum diperbaharui kerana mahu mengumpul wang terlebih dahulu.

"Saya kerja jual sayur-sayuran dan dapat sekitar RM1,500 sebulan. Saya tinggal menyewa bersama beberapa rakan.

"Saya memang mahu memperbaharui pasport, tetapi belum cukup duit. Bila nampak operasi, saya panik dan cuba lari," katanya.

Tinjauan Sinar Harian yang mengikuti operasi berkenaan mendapati beberapa warga asing bertindak cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, namun cubaan mereka berjaya dipatahkan.

Operasi terbabit dipecahkan kepada tiga zon iaitu Zon 1, Zon 2 dan Zon 3 bagi memudahkan pemeriksaan dijalankan ke atas individu yang berada di sekitar kawasan pasar berkenaan.

Kebanyakan yang diperiksa dipercayai bekerja di pasar berhampiran termasuk sebagai pembantu kedai, pekerja am dan penjaja.

Dalam pada itu, JIM Kuala Lumpur mengingatkan warga asing supaya sentiasa mematuhi undang-undang imigresen negara serta memastikan dokumen perjalanan dan pas kerja berada dalam tempoh sah.

Menurut jabatan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan.

JIM turut menasihatkan majikan agar tidak menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang imigresen negara.