Vape ‘magic mushroom’ cetus halusinasi, ancam kesihatan

Iklan
Mapim zahir kebimbangan serius terhadap peningkatan penggunaan dan pengedaran rokok elektronik. Foto hiasan

SUNGAI PETANI - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan mengharamkan segera pengedaran vape jenis 'magic mushroom' yang boleh merosakkan sistem saraf, menyebabkan halusinasi melampau, masalah jantung sekali gus risiko kemalangan hingga membawa maut.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim menzahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan penggunaan dan pengedaran rokok elektronik itu yang dikatakan dicampur atau disalahgunakan bahan berasaskan dadah sintetik sehingga boleh menjejaskan fungsi otak serta kesihatan tubuh badan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penggunaan bahan ini terutamanya dalam bentuk cecair vape, boleh membawa kesan serius kepada individu, khususnya remaja dan kanak-kanak.

"Ia beri kesan besar kepada otak dan mental di mana halusinasi visual serta pendengaran, gangguan persepsi realiti paranoia, keresahan melampau dan risiko psikosis jangka pendek atau panjang boleh berlaku.

Iklan

"Emosi boleh jadi tidak stabil, impulsif dan hilang kawalan diri serta kecenderungan kepada tingkah laku berisiko, degupan jantung tidak stabil, risiko kemalangan maut akibat hilang fokus serta membawa kepada penyalahgunaan dadah lain," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Mapim bimbang sekiranya produk itu dipasarkan secara lebih moden dalam bentuk pilihan cecair vape, diedar melalui media sosial dan kemungkinan melalui rangkaian pasaran gelap sehingga membolehkan ia sukar dikesan.

Iklan

Mohd Azmi berkata, susulan itu, pemerkasaan undang-undang dan penguatkuasaan tegas pengharaman perlu ditekankan.

Selain itu, kawalan digital terhadap jualan dalam talian perlu diperketatkan selain kesedaran pendidikan risiko bahaya perlu diperluaskan agar generasi muda lebih peka dan tidak terpengaruh.

Beliau berkata, penggunaan vape bukan sekadar isu gaya hidup dan trend masa kini, sebaliknya menjadi ancaman serius kepada kesihatan mental, keselamatan sosial serta masa depan generasi muda.

"Tindakan segera, tegas dan menyeluruh amat diperlukan sebelum ia menjadi krisis yang lebih besar dalam masyarakat," tegas beliau.