TANAH MERAH - Kebangkitan semula pertandingan belalang kerek atau belalang rusa di Kelantan menarik perhatian ramai, khususnya generasi muda untuk mendekati hobi warisan tersebut termasuk kaedah mencari dan penjagaan serangga itu.
Bagi peminat tegar hobi tradisional itu, proses menangkap dan memelihara serangga itu tidak rumit, namun menuntut kreativiti dan pemahaman mendalam tentang sifat semula jadi belalang kerek
Penduduk Kampung Manal 3 Muhammad Sayuti Mat, 53, yang aktif menyertai pertandingan itu berkata faktor utama hobi tersebut kembali diminati ialah kos penjagaan yang sangat rendah dan tidak membebankan.
Muhammad Sayuti berkata, aktiviti mencari serangga itu biasanya dilakukan pada waktu malam dan bergantung sepenuhnya kepada deria pendengaran.
"Belalang kerek mengeluarkan bunyi tersendiri pada waktu malam yang memberikan petunjuk kedudukan kepada mereka yang mencarinya. Kebiasaannya, serangga ini mudah ditemukan di kawasan tanaman atau semak seperti pokok palas, senduduk dan nanas,” katanya.
Keunikan belalang kerek diakui Rihduan Jamaluddin, 25, yang berkata sifat semula jadi serangga itu lebih aktif dan mengeluarkan bunyi lebih nyaring pada waktu malam, menjadi sebab pertandingan sering diadakan pada waktu tersebut.
"Memang seronok mendengar kualiti bunyi itu, lebih-lebih lagi jika belalang kita menang,” katanya yang menjadikan hobi itu sebagai cara melepaskan penat bekerja.
Senada ialah Aidil Md Noor, 23, yang bersetuju diet makanan yang ringkas menjadi penyebab utama hobi lama itu kembali popular khususnya dalam kalangan golongan muda.
Seni memelihara belalang kerek, menurut Aidil menjadi sebab golongan muda berkomunikasi dengan mereka lebih berusia apabila menimba petua menjaga belalang kerek, sekali gus memastikan kelangsungan hobi warisan Kelantan itu.- Bernama