Pekerja terapung di udara selepas terkena renjatan elektrik ketika cat bangunan

Iklan
Seorang pekerja melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecat.

BANGKOK – Seorang pekerja mengalami kecederaan parah selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja mengecat bahagian luar sebuah bangunan di Bangkok, Thailand.

Dalam kejadian itu, tali perancah gantung yang digunakan mangsa dipercayai tersentuh kabel elektrik voltan tinggi, menyebabkan mangsa mengalami renjatan elektrik yang kuat sebelum terjatuh ke bawah.

Iklan
Iklan

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan mangsa terapung di udara sambil cuba menyelamatkan diri selepas terkena renjatan pertama.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai terkena renjatan kedua yang menyebabkan beliau tidak lagi bergerak ketika masih tergantung pada tali keselamatan.

Iklan

Menurut laporan, tali gantung yang digunakan mangsa telah berganjak secara tidak dijangka sebelum menyentuh kabel elektrik voltan tinggi berhampiran lokasi kerja.

Pasukan penyelamat yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa masih sedar dan mampu berkomunikasi walaupun mengalami kecederaan serius.

Iklan

Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kesan lecur 70 peratus daripada keseluruhan tubuhnya akibat renjatan elektrik.

Petugas kecemasan bersama paramedik memberikan rawatan awal termasuk penilaian kecederaan serta langkah penstabilan mangsa di lokasi kejadian.

Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal seterusnya dikejarkan ke Hospital Ramathibodi dengan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

Pihak berkuasa Thailand kini sedang menyiasat punca kejadian bagi menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian atau kegagalan mematuhi prosedur keselamatan ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan. - Agensi