Gaun cantik dari sisa fabrik tapak runtuhan di Gaza

Iklan
Ukuran diambil pada kain yang telah siap dipotong.

KHAN YUNIS - Seorang kanak-kanak perempuan Palestin teruja memperagakan gaun putih yang dipakainya di sebuah kedai tukang jahit. Matanya bersinar penuh kegembiraan. Ia dihiasi dengan renda tulle yang halus berserta vel yang sesuai untuk sebuah majlis istimewa.

Siapa sangka sebahagian daripada gaun tersebut diperbuat daripada kain dikitar semula yang diperoleh daripada tapak runtuhan akibat perang ganas di Genting Gaza.

Iklan
Iklan

Seorang kanak-kanak Palestin menggayakan gaun yang dihasilkan khas untuknya.

Di sebalik penghasilan gaun tersebut ialah Amir al-Rantisi, 24, seorang tukang jahit yang menggunakan kreativiti dan kemahirannya menyediakan gaun cantik untuk kanak-kanak perempuan serta gadis muda di Khan Yunis, selatan Gaza.

Iklan

"Sebahagiannya diperbuat daripada fabrik terpakai yang rosak akibat peperangan. Saya memilih cebisan kain dan gaun lama yang masih elok untuk dikitar semula," katanya.

Pelbagai gaun yang dihasilkan untuk acara istimewa termasuk majlis perkahwinan dipamerkan di luar kedai tersebut.

Iklan

Di luar kedainya, hasil jahitan berwarna-warni yang diperbuat daripada pelbagai jenis fabrik seperti satin, organza dan tulle tergantung pada patung pameran buatan sendiri daripada batang besi menceriakan suasana yang dikelilingi runtuhan bangunan serta struktur separa musnah.

Beberapa gaun labuh yang elegan turut dipamerkan pada patung simen di hadapan premis, manakala di dalam kedai, deretan gaun yang tersusun rapi menghiasi ruang pameran, sekali gus memudahkan pelanggan memilih pakaian mengikut cita rasa dan keperluan masing-masing.

Kedai tersebut sentiasa menerima tempahan pelanggan meskipun berdepan kekurangan bekalan seperti benang.

Bengkel itu sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti. Di atas sebuah meja berhampiran dinding yang runtuh, timbunan gaun lama menanti sentuhan kreatif untuk diberikan nafas baharu sebagai pakaian istimewa bagi pelbagai majlis.

Pemuda berbakat itu turut dibantu oleh ibunya, Nisreen al-Rantisi dan seorang lagi pembantu tukang jahit untuk menyiapkan setiap tempahan pelanggan.

Namun, di sebalik kesibukan bengkel itu, Nisreen mengakui mereka terpaksa berdepan pelbagai kekangan demi untuk memastikan perniagaan keluarga tersebut terus beroperasi.

“Kami sangat terkesan dengan gangguan bekalan elektrik sehingga menyebabkan ada tempahan dan kerja yang tidak dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Operasi kedai jahit itu berdepan cabaran seperti kenaikan mendadak kos bahan mentah.

Tetapi, Amir menemui cara untuk mengatasi masalah tersebut dengan mengubah suai mesin jahitnya.

Dia memasang pedal basikal lama sebagai sumber tenaga alternatif bagi membolehkannya terus bekerja walaupun bekalan elektrik sering terputus di Gaza.

Ibunya berpendapat kaedah itu kurang praktikal kerana kerja menjahit terpaksa dilakukan secara manual iaitu seorang perlu mengayuh dan menjahit manakala seorang lagi melakukan tugas lain.

Gaun pengantin yang memukau pandangan itu menyerupai hasil rekaan butik eksklusif.

Pada masa yang sama, kos bahan mentah turut meningkat mendadak.

Barang asas jarang terdapat di pasaran kerana penghantaran barangan ke wilayah itu yang masih terhad ditambah pula dengan masalah kekurangan bekalan yang semakin buruk.

“Segulung benang hitam semakin sukar didapati. Kalau ada sekalipun, dahulu harganya tujuh shekel (RM9.80), tetapi sekarang mencecah 50 shekel (RM70),” kata Amir.

Salah satu gaun istimewa yang dihasilkan mereka.

Apa yang pasti hasil kerja Amir mencerminkan ketabahan penduduk Gaza yang terus berusaha mencipta kegembiraan dan meneruskan kehidupan meskipun dihimpit kesengsaraan akibat peperangan.