Dua maut, 7 cedera dalam nahas 3 kenderaan

Iklan
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam nahas meragut dua nyawa di Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan pada Jumaat. - Foto JBPM Pahang

KUANTAN – Dua maut manakala tujuh lagi cedera, termasuk seorang parah, dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini, Pekan pada Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, dalam kemalangan yang dilaporkan pada jam 5.57 petang itu, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan pemandu kereta Honda Civic maut di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemalangan itu turut mengakibatkan dua penumpang Toyota Alphard berusia 15 dan 35 tahun, termasuk seorang wanita, cedera.

“Penumpang hadapan kereta Honda Civic dilaporkan parah, manakala tiga penumpang lain termasuk seorang warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami kecederaan.

Iklan

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Mohd Salahuddin berkata, sepasukan anggota dari BBP Chini dengan bantuan anggota BBP Muadzam Shah bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

Iklan

“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang berada di dalam kenderaan menggunakan peralatan khas menyelamat.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.