Enam polis cedera dalam serangan bom, insiden berbalas tembakan di Yala

Iklan
Pegawai polis peronda sempadan bersembunyi di belakang kenderaan peronda berikutan letupan bom di tepi jalan di daerah Than To di Yala pada pagi Jumaat. - Foto: Pejabat Perhubungan Awam Yala

YALA - Dua anggota polis parah manakala empat lagi cedera ringan dalam satu serangan bom dan insiden berbalas tembakan di Yala, selatan Thailand, Jumaat pagi.

Menurut Pusat Penerangan Kawalan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), dalam kejadian kira-kira 8.10 pagi (waktu tempatan) itu, pasukan keselamatan berkenaan sedang menjalankan rondaan dan kawalan bagi keselamatan guru dan pengguna di Jalan Betong-Yala.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati bahan letupan ditanam di tepi jalan dan diaktifkan menggunakan alat komunikasi. Insiden berbalas tembakan antara penyerang dan pasukan keselamatan turut berlaku,” menurut ISOC 4.

Anggota polis yang cedera menerima rawatan di Hospital Than To manakala dua yang parah dipindahkan ke Hospital Yala untuk rawatan lanjut.

Iklan
Iklan

Susulan serangan itu, ISOC 4 berkata, laluan utama Yala-Betong ditutup sementara bagi membolehkan pemeriksaan dan siasatan dijalankan di lokasi serangan. - Bernama