KKM digesa perketat penguatkuasaan Akta 852 tangani lambakan vape - Pemadam

Iklan
Jamelah berkata, pemantauan terhadap kandungan produk vape yang berada di pasaran juga perlu dipertingkatkan.

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) digesa supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap penjualan vape atau rokok elektronik khususnya yang dipasarkan tanpa kawalan melalui pelbagai platform dalam talian.

Pengerusi Biro Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Jamelah A Bakar berkata, selaras dengan itu, penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) perlu diperkukuhkan bagi menangani lambakan jualan vape.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) turut menunjukkan penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas meningkat daripada 0.8 pada tahun 2011 kepada 5.8 peratus pada tahun 2023.

"Perkembangan ini menunjukkan bahawa vape bukan lagi sekadar isu nikotin semata-mata, tetapi berpotensi menjadi medium penyalahgunaan bahan terlarang yang lebih kompleks dan berbahaya," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Mengulas lanjut, Jamelah berkata, pemantauan terhadap kandungan produk vape yang berada di pasaran juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan tiada bahan terlarang, psikoaktif atau dadah sintetik disalahgunakan melalui produk tersebut.

Pada masa yang sama tambahnya, promosi dan pengiklanan yang menyasarkan golongan muda perlu dibendung secara lebih berkesan.

Iklan

"Pemadam percaya bahawa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk mengawal produk merokok termasuk vape.

"Justeru, keutamaan pada masa ini ialah memastikan penguatkuasaannya diperkasakan secara konsisten dan berterusan melalui kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat," katanya.