'Abah pilih UMNO, saya kekal setia bersama Bersatu' - Nurul Syazwani

Iklan
Nurul Syazwani berkata, keputusan bapanya untuk kembali kepada UMNO adalah hak peribadi yang wajar dihormati.

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh menegaskan akan terus kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) meskipun bapanya, Tan Sri Noh Omar kembali menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, keputusan bapanya untuk kembali kepada UMNO adalah hak peribadi yang wajar dihormati dan tidak akan menjejaskan pendirian politiknya sebagai wakil rakyat yang dipilih atas tiket PN.

Iklan
Iklan

"Saya hormati keputusan abah (Noh) kerana faham sebagai ahli politik berpengalaman tentunya beliau mempunyai misinya tersendiri termasuk usaha ke arah penyatuan orang Melayu," katanya ketika ditemui semasa Sidang Khas Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.

Nurul Syazwani mengakui Noh ada berbincang dengannya sebelum membuat keputusan menyertai kembali UMNO.

Iklan

"Saya ada memberikan pandangan secara terbuka memandangkan abah ketika itu tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam Bersatu," katanya.

Tambahnya, beliau memahami hubungan rapat bapanya dengan UMNO kerana sebahagian besar perjalanan politik Noh dibina dalam parti berkenaan.

Iklan

Mengulas kemungkinan mengikut jejak bapanya menyertai UMNO, Nurul Syazwani berkata, perkara itu tidak timbul kerana beliau kini memikul amanah rakyat yang memilihnya sebagai wakil PN.

"Saya memegang mandat rakyat dan amanah yang perlu dibawa. Kita tidak boleh menggadaikan harapan rakyat atau merosakkan amanah itu semata-mata kerana kepentingan politik peribadi.

"Apa juga yang berlaku, saya akan terus membawa suara rakyat Permatang dan melaksanakan tanggungjawab saya di DUN ini," katanya.

Ditanya mengenai masa depan politiknya selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang, Nurul Syazwani menyerahkan perkara itu kepada ketentuan ALLAH serta keputusan kepimpinan parti.

"Apa yang berlaku hari ini mungkin tidak menggembirakan sesetengah penyokong PN, namun saya serahkan kepada kepimpinan Bersatu dan takdir mengenai hala tuju politik selepas ini.

"Saya sentiasa baik dengan semua pihak dan tidak pernah memusuhi UMNO dan parti lain. Ke mana hala tuju politik saya selepas ini, kita serahkan kepada ketentuan," katanya.

Sinar Harian pada 7 Jun lalu melaporkan, Noh yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu mengumumkan penyertaan semula ke dalam UMNO dan BN melalui Rumah Bangsa.

Noh berkata, tindakan itu dilakukan selepas beliau melepaskan semua jawatan dan keahliannya dalam Bersatu berkuat kuasa serta-merta.