KEDUDUKAN Malaysia yang melonjak ke tangga ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Ranking Daya Saing Dunia Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2026 menunjukkan hasil usaha reformasi yang konsisten dan kerjasama erat antara sektor awam serta swasta.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, pihaknya turut memainkan peranan secara langsung dalam proses itu melalui penyertaan dalam Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan pelbagai platform libat urus antara kerajaan serta industri.
Menurutnya, sejak sekian lama, FMM secara konsisten mengemukakan cadangan penambahbaikan berkaitan proses kawal selia, pemudahcaraan perdagangan, pentadbiran percukaian, kecekapan logistik, operasi pelabuhan serta pengurangan beban pematuhan ke atas perniagaan.
"Peningkatan ketara dalam kecekapan kerajaan dan perniagaan membuktikan impak positif hasil reformasi berterusan selain kerjasama strategik antara sektor awam serta swasta.
"Bagi sektor pembuatan, peningkatan kedudukan daya saing ini mempunyai implikasi yang besar. Ia memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan langsung asing (FDI).
"Ia sekali gus menyokong integrasi negara dalam rantaian bekalan serantau dan global selain meningkatkan keyakinan pelabur dalam suasana ketidaktentuan geopolitik serta perdagangan antarabangsa," ujarnya dalam satu kenyataan.
Penarafan IMD itu berasaskan empat teras utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Menurut IMD, pengukuhan merentas kesemua teras tersebut menjadi faktor utama yang mendorong peningkatan kedudukan Malaysia pada tahun ini.
Tambah Jacob Lee, peningkatan lapan anak tangga daripada kedudukan ke-23 pada tahun 2025 merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Jelasnya, ia sekali gus meneruskan trajektori peningkatan daripada kedudukan ke-34 pada tahun 2024.
"Peningkatan ini adalah menyeluruh merangkumi keempat-empat tonggak penilaian IMD.
"Malaysia kini berada di kedudukan ke-4 dunia bagi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga ke kedudukan ke-14 dan kecekapan perniagaan melonjak 16 anak tangga ke kedudukan ke-16.
"Aspek infrastruktur turut menunjukkan kemajuan dengan peningkatan dua anak tangga ke kedudukan ke-33," ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada peringkat subfaktor, kedudukan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa meningkat kepada tangga ke-5 dunia.
Tambahnya, manakala kedudukan ekonomi domestik naik empat anak tangga ke tangga ke-11.
"Pencapaian ini mencerminkan daya tahan ekonomi negara yang berterusan serta prestasi perdagangan yang kukuh.
"Oleh itu, FMM kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan dalam mengekalkan momentum ini dan memperkukuhkan lagi daya saing Malaysia.
"Kerjasama berterusan antara sektor awam dan swasta akan menjadi pemangkin utama dalam menterjemahkan pencapaian ini kepada peningkatan pelaburan, produktiviti yang lebih tinggi, penciptaan pekerjaan berkualiti serta pembangunan sektor pembuatan yang lebih berdaya tahan dan mampan," ulasnya.