TUMPAT – Remaja perempuan yang parah dipukul dalam kejadian rogol dan samun ketika berjoging di Palekbang di sini pada Rabu masih mengalami trauma.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, mangsa yang berusia 15 tahun kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan masih berada di bawah pemantauan doktor.
“Mangsa dalam keadaan stabil tetapi masih trauma susulan kejadian itu.
“Dia juga masih di bawah pemerhatian doktor di hospital,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu remaja terbabit dipercayai diserang ketika berjoging dan dipukul dengan kayu di muka, kepala, badan sebelum dirogol serta disamun telefon bimbitnya.
Mangsa berkenaan pada awalnya berjoging bersama adik lelaki yang berusia 10 tahun sebelum terpisah dan disangkakan sudah pulang ke rumah.
Gadis terbabit bagaimanapun ditemukan di kawasan semak berdekatan tali air dalam keadaan cedera parah dan separuh sedar oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada bapanya yang sedang mencari remaja berkenaan kerana tidak pulang selepas keluar berjoging jam 7 pagi.
Dia dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mohd Khairi berkata, polis sedang mempergiat usaha mengesan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, Unit K9 turut digerakkan bagi membantu menjejaki suspek, manakala pasukan penyiasat sedang meneliti beberapa petunjuk yang diperoleh.
“Kami masih mengesan suspek dan Unit K9 sedang membantu dalam usaha menjejaki serta mengesannya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi polis segera,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun.