BESUT – Taktik licik empat lelaki termasuk seorang penjawat awam yang menjadikan sebuah rumah di Kampung Raja di sini sebagai sarang aktiviti dadah terbongkar selepas mereka ditahan pihak polis awal pagi Khamis.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, pihak polis turut berjaya merampas bahan disyaki dadah jenis ganja seberat 21.70 gram yang dianggarkan bernilai RM1,085.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut hasil risikan berhubung aktiviti pengedaran dadah di kawasan terbabit.
Mengulas lanjut, Mohd Rozaime berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati tiga daripada empat suspek berkenaan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah dua seksyen berbeza iaitu Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah tanpa kompromi.
"Orang ramai diminta agar terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dadah di kawasan mereka bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya.