PEKAN - Polis menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes jual beli sijil cuti sakit (MC) yang disyaki tidak sah di daerah ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua individu berusia lingkungan 40-an dipercayai pembeli itu ditahan sekitar daerah ini, Rabu lalu.
Beliau berkata, polis akan mengambil keterangan daripada mereka bagi melengkapkan siasatan kes yang sedang dijalankan.
"Sementara itu, lima individu termasuk seorang penjawat awam (jururawat) yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat selepas tempoh reman mereka tamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Polis Pahang di Dewan Konvensyen Majlis Perbandaran Pekan pada Jumaat.
Menurut Yahaya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi tujuan menipu serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sebelum ini, lima individu termasuk seorang jururawat wanita dari sebuah klinik kerajaan direman bagi membantu siasatan berkaitan kegiatan jual beli MC yang disyaki tidak sah.
Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun selepas mendapat permohonan daripada pihak polis susulan penahanan kesemua suspek tersebut.
Kes berkenaan terbongkar selepas Pejabat Kesihatan Daerah Pekan menerima maklumat pada 12 Mei lalu mengenai kegiatan penjualan sijil MC yang didakwa berlaku dalam kalangan pekerja sebuah kilang di daerah ini.
Bertindak atas maklumat dan risikan, polis menahan lima suspek berusia antara 30 hingga 55 tahun dalam operasi di sekitar daerah Pekan pada 15 Jun.
Mereka terdiri daripada tiga individu yang disyaki sebagai orang tengah, seorang penjawat awam yang dipercayai membekalkan MC tidak sah serta seorang lagi individu yang dipercayai mendapatkan dan menggunakan dokumen berkenaan.
Hasil semakan mendapati MC berkenaan menggunakan nama dan cop seorang pegawai perubatan yang telah bertukar tempat bertugas sejak 2023.
Siasatan lanjut turut mendapati nombor siri MC yang digunakan merupakan sebahagian daripada buku MC rasmi yang telah diedarkan kepada sebuah klinik kerajaan di daerah ini.
Polis percaya MC berkenaan dijual pada harga antara RM50 hingga RM200 sekeping melalui beberapa individu yang bertindak sebagai orang tengah bagi mendapatkan pelanggan.