Cekal jual biskut balang tampung kos rawatan kanser, anak sambung belajar

Iklan
Sakilla Hanis kerap mempromosikan jualan biskut balang buatan sendiri di Threads. Kredit/ Threads @saklla3ds.

SHAH ALAM - Diuji dengan kanser payudara tahap tiga dan kanser ovari tahap dua, dalam masa sama perlu menjaga sang ibu yang uzur serta pejuang kanser payudara tahap empat.

Ia bagaimanapun tidak mematahkan semangat Sakilla Hanis Mohamed, 47, untuk terus mencari wang dengan berniaga apa jua jenis makanan.

Iklan
Iklan

Antaranya sambal udang petai dan biskut balang hasil air tangan sendiri bagi menampung kos rawatan kanser buat dirinya serta ibu tersayang.

Selain itu, Sakilla Hanis berkata, dia kerap mempromosikan jualan biskut di media sosial kerana anaknya bakal melanjutkan pengajian ke Politeknik Ungku Omar (PUO) tidak lama lagi, namun segala persiapan masih belum mencukupi.

Iklan

"Sesiapa yang berkesempatan boleh beli sebalang dua biskut jualan saya. Ia cukup bermakna untuk kelancaran rawatan kanser saya dan mak, termasuk kelangsungan hidup kami.

"Sejujurnya kewangan untuk rawatan sekali jalan dengan persiapan anak sambung belajar amat genting. Saya usaha sedaya upaya dan sehabis baik mencari rezeki," katanya menerusi hantaran di Threads baru-baru ini.

Iklan

Sakilla Hanis hidap kanser payudara tahap tiga dan kanser ovari tahap dua.

Menurut ibu tunggal kepada tiga orang anak itu, ubat untuk rawatan kanser bulan ini juga masih belum dapat diambil ekoran kesempitan wang.

Tambah wanita tersebut, minggu lalu dia baharu sahaja melakukan proses biopsi disebabkan ketulan yang muncul di sekitar luka pembedahan sebelum ini.

"Kemungkinan besar saya akan menjalani pembedahan sekali lagi termasuk rawatan kemoterapi serta radioterapi yang panjang.

"Rawatan kanser sememangnya sangat panjang serta memerlukan kos yang banyak di samping penyediaan alatan perubatan untuk mak seperti lampin pakai buang, susu, ubat cuci luka dan lain-lain.

"Jadi, besar harapan saya kalau setiap seorang sudi membeli kerana hasil jualan tiada lain, hanya untuk kos rawatan kanser saya, kanser mak dan perbelanjaan anak-anak," ujarnya.

Menerusi jenama Danias Foodie, setiap balang biskut berisi 40 biji dijual hanya RM28 dengan penghantaran ke seluruh Malaysia.

Selain membeli, orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan ihsan ke akaun Bank Islam 12038025462785 atas nama Sakilla Hanis Binti Mohamed.