PENGGUNAAN ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) semakin mendapat perhatian dalam usaha membendung penularan HIV di seluruh dunia termasuk Malaysia.
PrEP merupakan ubat pencegahan yang diambil oleh individu yang belum dijangkiti HIV bagi mengurangkan risiko mendapat jangkitan virus tersebut.
Kajian dan garis panduan kesihatan antarabangsa menunjukkan PrEP mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV secara signifikan apabila diambil mengikut preskripsi dan disertai pemantauan kesihatan yang berkala.
Bagaimanapun, pelaksanaan dan penerimaan PrEP bukanlah tanpa cabaran. Antara isu yang sering dibangkitkan ialah kebimbangan bahawa pengambilan ubat tersebut boleh mendorong segelintir individu mengabaikan amalan seks selamat seperti penggunaan kondom kerana merasakan diri mereka sudah dilindungi daripada HIV.
Begitu juga dengan persepsi bahawa ubat berkenaan akan menjadi satu alat bagi menggalakkan amalan seks bebas dan bertukar pasangan.
Kebimbangan ini dikenali sebagai risk compensation atau perubahan tingkah laku akibat persepsi risiko yang lebih rendah.
Walaupun bukti saintifik mengenai fenomena ini masih bercampur-campur, ia terus menjadi topik perdebatan dalam kalangan penggubal dasar, pengamal kesihatan dan masyarakat.
Selain itu, terdapat juga stigma masyarakat yang mengaitkan penggunaan PrEP dengan tingkah laku seksual tertentu sehingga menyebabkan sesetengah individu memerlukan perlindungan enggan mendapatkan rawatan.
Keadaan ini boleh menjejaskan keberkesanan program pencegahan HIV yang sedang diperluaskan oleh pihak berkuasa kesihatan.
Bagi menangani isu tersebut, beberapa langkah perlu diberi perhatian antaranya pendidikan kesihatan awam perlu diperkasakan bagi menjelaskan bahawa PrEP bukan pengganti kepada amalan seks selamat, sebaliknya merupakan salah satu lapisan perlindungan tambahan.
Selain itu pengguna PrEP perlu menjalani saringan HIV dan penyakit kelamin secara berkala bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa dipantau.