BDB Land bangunkan hab komersial baharu RM41.5 juta di Jitra

Iklan
Gambar ilustrasi Darulaman Commercial District yang bakal dibangunkan di Jitra.

JITRA – BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB) membangunkan pusat komersial baharu dikenali sebagai Darulaman Commercial District (DCD) di Bandar Darulaman di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM41.5 juta.

Projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 5.01 ekar itu merangkumi 45 unit bangunan kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta sebuah bangunan pejabat korporat baharu BDB Land.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, pembangunan berkenaan dirancang sebagai hab perniagaan dan pusat tumpuan gaya hidup yang melengkapkan komuniti sedia ada di Bandar Darulaman.

Menurutnya, lokasi strategik projek yang terletak bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) serta berhampiran Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Tasik Darulaman Park dan Fantasia Aquapark memberi kelebihan dari segi aksesibiliti serta potensi pertumbuhan ekonomi.

Iklan

“Ia sekali gus menyokong peranan Bandar Darulaman sebagai salah satu pusat pertumbuhan utama di wilayah utara,” katanya pada Khamis.

Che Abdul Khalid berkata, pembangunan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan dalam memperkukuhkan ekosistem pasaran hartanah di Bandar Darulaman yang kini meliputi kawasan seluas 2,200 ekar.

Iklan

Che Abdul Khalid

Jelasnya, perbandaran itu kini merangkumi lebih 5,000 unit kediaman serta pelbagai komponen pembangunan bercampur yang terus berkembang sejajar dengan permintaan semasa.

“Pembangunan DCD turut menyokong strategi jangka panjang BDB dalam menambah nilai keseluruhan Bandar Darulaman sebagai sebuah perbandaran moden dan mampan,” katanya.

Tambah beliau, DCD direka dengan konsep ruang perniagaan yang lebih tersusun dan moden bagi memenuhi keperluan semasa serta masa depan komuniti perniagaan.

Menurutnya, pembangunan itu dijangka merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat menerusi sektor peruncitan, perkhidmatan dan keusahawanan.

“Kerja-kerja awal projek telah dimulakan melibatkan pembersihan tapak dan penyediaan tanah sebagai persediaan bagi fasa pembinaan seterusnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Che Abdul Khalid berkata, setiap pembangunan yang dilaksanakan BDB Land memberi penekanan kepada aspek kemampanan, kesejahteraan komuniti dan peningkatan nilai hartanah jangka panjang sejajar dengan prinsip ESG yang menjadi teras amalan Kumpulan BDB.

“Setiap pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal, tetapi turut menitikberatkan aspek sosial dan tadbir urus melalui perancangan bandar yang lebih berdaya huni serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Pendekatan ini menjadi asas kepada pembentukan persekitaran yang lebih terancang, seimbang dan berkualiti untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

DCD kini telah dibuka untuk tempahan kepada orang ramai dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi BDB Land di talian 04-919 9080 atau 013-496 4288.