UPKO diterima sebagai parti komponen GRS

Iklan
Hajiji dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di SICC, Kota Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara menerima kemasukan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai parti komponen baharu gabungan itu.

Kemasukan UPKO sekali gus menjadikan GRS kini dianggotai enam parti komponen iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS).

Iklan
Iklan

Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan menerima UPKO dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS dan berkuat kuasa serta-merta.

"Kita telah membuat keputusan dan bersetuju sebulat suara untuk menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS. Bermula hari ini, mereka secara rasmi menjadi ahli GRS.

Iklan

"Perkara ini akan dimaklumkan kepada pihak UPKO selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, penerimaan UPKO selaras dengan perjuangan GRS yang berteraskan slogan Sabah United, Sabah First.

Iklan

Menurutnya, penyertaan UPKO akan memperkukuh kedudukan parti-parti tempatan dalam gabungan berkenaan sekali gus membantu memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negeri terus terpelihara.

"Kita mahu mewujudkan dan mengekalkan kestabilan kerajaan negeri yang ada pada hari ini," katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat kebimbangan dalam kalangan parti komponen terhadap kemasukan UPKO, Hajiji menegaskan semua pihak memberikan sokongan penuh terhadap keputusan tersebut.

"Tidak ada. Semua setuju kerana kita mahu menguatkan GRS. Jadi tidak timbul soal kebimbangan atau perkara-perkara lain," katanya.

Mengulas kemungkinan terdapat parti lain yang akan menyertai GRS pada masa akan datang, beliau berkata setakat ini tiada perancangan ke arah itu.

"Setakat ini tiada. Cukuplah itu," katanya.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Timbalan Pengerusi GRS merangkap Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun dan empat lagi Timbalan Pengerusi iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Tan Sri Anifah Aman; Tan Sri Liew Yun Fah dan Datuk Chin Su Phin.

Selain itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai turut berada dalam mesyuarat tersebut.