Saman Muhyiddin: Ganti rugi RM1.05 juta Lim Guan Eng dikurangkan kepada RM450,000

Iklan
Mahkamah Rayuan pada Khamis mengurangkan jumlah ganti rugi am Penasihat DAP, Lim Guan Eng (kanan) kepada RM450,000 dalam saman fitnah difailkan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Khamis mengurangkan jumlah ganti rugi am diberikan kepada Penasihat DAP Lim Guan Eng daripada RM1.05 juta kepada RM450,000 dalam saman fitnah difailkan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pembatalan pengecualian cukai bagi Yayasan Albukhary.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar selepas membenarkan sebahagian rayuan Muhyiddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Dalam penghakiman sebulat suara, Hakim Azhahari berkata, setelah meneliti tiga kenyataan yang dipertikaikan bertarikh 9, 11 dan 12 Mac 2023, Mahkamah Tinggi adalah tepat dalam memutuskan bahawa kenyataan tersebut bersifat fitnah dan tiada alasan untuk mengubah dapatan fakta itu.

"Sehubungan itu, mahkamah menetapkan ganti rugi sebanyak RM150,000 bagi setiap satu daripada tiga kenyataan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan RM450,000. Oleh itu, jumlah RM1.05 juta digantikan dengan RM450,000,” katanya.

Iklan

Panel itu turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan RM150,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM150,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Guan Eng.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan silang Guan Eng berhubung faedah dan memerintahkan faedah pada kadar lima peratus setahun dibayar bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dibuat.

Iklan

Panel tersebut turut memerintahkan Muhyiddin membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Guan Eng, manakala bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pula diperintahkan membayar kos RM30,000 kepada bekas Perdana Menteri itu.

Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah menerusi Facebook pada 9, 11 dan 12 Mac 2023 yang mengaitkannya dengan isu pengecualian cukai.

Laporan berkaitan kenyataan tersebut kemudian disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Pada November 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Guan Eng dan memerintahkan Muhyiddin membayar RM350,000 bagi setiap satu daripada tiga kenyataan berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan RM1.05 juta sebagai ganti rugi am, selain RM150,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM150,000 sebagai ganti rugi teladan.- Bernama