Jaga ayah strok bukan penghalang dua beradik cemerlang STPM

Iklan
Tunku Nur Syakirah (kiri) dan Tunku Nur Sakinah semasa ditemui di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Alor Setar pada Khamis.

ALOR SETAR – Rutin bangun seawal jam 5 pagi setiap hari untuk menguruskan bapa yang terlantar akibat strok sejak 10 tahun lalu tidak menghalang dua beradik dari Jalan Datuk Kumbar dekat sini mencipta kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Tunku Nur Syakirah Tunku Badruzzaman, 22, muncul antara pelajar cemerlang apabila memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, manakala adiknya, Tunku Nur Sakinah, 20, meraih PNGK 3.92.

Iklan
Iklan

Kedua-duanya merupakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin di sini.

Menurut Tunku Nur Syakirah, kejayaan itu dicapai hasil disiplin yang ketat serta kerjasama seluruh keluarga dalam membahagikan masa antara pelajaran dan tanggungjawab menjaga bapa mereka, Tunku Badruzzaman Tunku Abdul Aziz, 77 yang merupakan pesara tentera.

Iklan

Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Alor Setar turut menerima anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 (Kategori Kolej Tingkatan Enam).

"Kami cuba susun jadual sebaik mungkin. Sebelum pergi sekolah, kami bangun sekitar jam 5 pagi untuk uruskan ayah.

Iklan

"Kami mandikan ayah, bantu keperluannya terlebih dahulu sebelum bersiap dan pergi ke sekolah," katanya ketika ditemui di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin selepas pengumuman keputusan STPM pada Rabu.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, sebaik sahaja pulang dari sekolah, dia dan adiknya akan kembali mengambil alih tugas menjaga bapa mereka.

Menurutnya, meskipun berdepan pelbagai cabaran, kejayaan yang diraih memberi kepuasan kerana segala pengorbanan keluarga akhirnya membuahkan hasil.

"Saya sangat terharu kerana kami berjaya menguruskan keluarga dan pada masa sama dapat belajar dengan baik.

“Saya ingin ucap terima kasih kepada mak, Sharifah Hasaniah Syed Hassan, 55, kerana banyak berkorban sejak ayah sakit. Maklah yang menjadi tulang belakang keluarga dan berjaya mendidik kami adik-beradik sehingga memperoleh pendidikan yang sepatutnya" ujarnya.

Lebih membanggakan, Tunku Nur Syakirah bukan berasal daripada aliran pendidikan perdana sebaliknya mendapat pendidikan awal di sekolah pondok.

Dia yang juga hafizah al-Quran 30 juzuk dari Madrasah Nurul Iman, Batu Lima, Sik berkata, keputusan untuk mengambil STPM dibuat selepas memikirkan keadaan keluarganya.

"Saya berasal dari sekolah pondok dan pada usia 19 tahun saya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian sebelum menyambung pengajian di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin.

"Walaupun keputusan tidak sentiasa baik, kita perlu sentiasa berusaha, memperbaiki kelemahan dan menguatkan hubungan dengan ALLAH SWT," katanya yang bercita-cita menjadi menjadi guru bahasa Melayu.

Sementara itu, Tunku Nur Sakinah berkata, kejayaan yang dicapai menjadi pembakar semangat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dia yang bercadang mengikuti program Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) berharap dapat memperoleh pekerjaan yang stabil pada masa hadapan.

"Saya harap dapat mengubah nasib keluarga dan membalas jasa mak serta ayah yang banyak berkorban untuk kami," katanya.

Tunku Nur Sakinah berkata, dia dan kakaknya sering bertukar pandangan dalam pelajaran, khususnya bagi subjek yang sama seperti Pengajian Am dan Pengajian Perniagaan.

Terdahulu, media melaporkan PNGK keseluruhan STPM Kedah meningkat kepada 2.97 berbanding 2.89 pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadi pencapaian terbaik negeri itu sejak pelaksanaan peperiksaan STPM.

Seramai 97 calon atau 3.97 peratus memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM 2025 berbanding 98 calon atau 3.51 peratus pada tahun sebelumnya.