28 aplikasi AI dicipta hasil kajian STEMpreneur UMK

Iklan
Pelajar-pelajar mempelajari AI dan mencipta aplikasi. Foto UMK

KOTA BHARU - Sebanyak 28 aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan pelajar menerusi kajian STEMpreneur Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi antara faktor penyelidikan itu tercalon bagi kategori EdTech Innovation Excellence Award sempena Global Educator Award (GEA) 2026.

Kajian bertajuk Inovasi Sosial dalam Pendidikan STEMpreneur: Menerokai Generatif AI dan Nilai Sivik itu dibangunkan Profesor Keusahawanan dan Pengurusan UMK, Prof Dr Raja Suzana Raja Kasim menerusi pembiayaan Geran Dana Kajian Sosial Inovasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Iklan
Iklan

Menurut Prof Dr Raja Suzana, pencalonan tersebut membuktikan inovasi pendidikan tempatan berasaskan STEM, keusahawanan dan AI mampu bersaing serta mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Katanya, model STEMpreneur yang dibangunkan memberi penekanan kepada pembentukan pelajar yang bukan sahaja celik teknologi, malah mempunyai daya cipta, pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah dan keupayaan membangunkan penyelesaian untuk komuniti.

Iklan

“Sepanjang projek dilaksanakan, lebih 300 guru dan 600 pelajar terlibat secara langsung dalam pelbagai program pembangunan kapasiti, latihan, bengkel, intervensi pendidikan dan pembelajaran berasaskan projek.

Beliau berkata, hasil kajian menunjukkan integrasi STEMpreneur dan AI berjaya meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM selain memperkukuh kemahiran kreativiti, komunikasi, kolaborasi dan pemikiran reka bentuk.

Iklan

Bengkel pembelajaran AI yang diadakan di sekolah menengah. Foto UMK

Menurutnya, antara aplikasi AI yang dibangunkan pelajar ialah CampusCare AI, Smart Clinic Queue, SafeWalk Campus AI, CleanWater Monitor dan PasarAI yang merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan kampus, komuniti, keusahawanan, kelestarian serta kewangan Islam.

Katanya, aplikasi berkenaan bukan sekadar prototaip akademik, sebaliknya dibangunkan sebagai penyelesaian digital yang boleh digunakan komuniti selain menjadi bukti keberkesanan model pembelajaran yang menggabungkan STEM, keusahawanan dan AI.

GEA yang dianjurkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan KPT itu dijangka menerima kira-kira 1,000 penyertaan daripada 80 negara dalam 10 kategori yang dipertandingkan.