SHAH ALAM - Pelaksanaan projek rintis pelantikan warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terbukti berkesan dalam memperkukuh disiplin pelajar dan meningkatkan tahap keselamatan asrama.
Dapatan itu terkandung dalam Laporan Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan oleh Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kajian setebal 191 muka surat itu antara lainnya melaporkan penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa dan pentadbir.
"Kehadiran warden yang kerap dan sistematik meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme.
Menurut beliau, hasil kajian turut menunjukkan usaha berkenaan juga mampu memperkukuh dimensi kerohanian pelajar dengan keterlibatan langsung warden dalam aktiviti keagamaan.
Beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut juga membantu mengurangkan beban guru kerana mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.
"Hasil dapatan juga menunjukkan penurunan drastik isu-isu yang terkait dengan masalah disiplin pelajar, malah masalah buli sepanjang keberadaan warden ini hampir sifar.
"Berdasarkan laporan positif kajian ini, Majlis MARA akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dari kalangan bekas tentera di kesemua 58 MRSM seluruh Malaysia.
"Saya juga meminta pihak UPM bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu ini dan melanjutkan kajian untuk menangani isu buli mental secara holistik," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelidik IPSAS UPM atas kajian menyeluruh yang disifatkan memberi manfaat besar kepada MARA dan institusi MRSM dalam usaha merealisasikan agenda sifar buli.
"Ibu bapa dan masyarakat tidak perlu khuatir, warden-warden sepenuh masa di kalangan bekas tentera akan ditapis secara teliti dan melalui proses latihan khas dengan modul kerjasama UPM, sebelum ditempatkan di semua 58 MRSM bermula Januari 2027," katanya.