SHAH ALAM - Pemuda Pas mengecam kenyataan seorang Ahli Dewan Negara yang mempertikaikan usaha dakwah Islam serta program pendaftaran saudara baharu (mualaf) di sebuah institusi pengajian tinggi.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda Pas, Mohamed Sukri Omar berkata, kenyataan Dr Lingeshwaran R Arunasalam itu memperlihatkan kegagalan dirinya memahami kerangka Perlembagaan Persekutuan serta mencabar hak umat Islam yang dijamin perundangan.
Menurut beliau, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami dalam konteks yang menyeluruh.
"Perlembagaan bukan sahaja menjamin kebebasan beragama melalui Perkara 11(1), malah turut memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 11(4).
Mohamed Sukri menegaskan bahawa program dakwah yang dijalankan oleh pusat Islam di institusi pengajian tinggi adalah sah di sisi undang-undang dan selaras dengan identiti negara.
"Selagi pelaksanaannya dibuat secara sukarela, tanpa paksaan, beretika serta mematuhi undang-undang, tiada mana-mana pihak berhak menghalang, mempertikai atau menimbulkan syak wasangka terhadap aktiviti dakwah di kampus.
"Institusi pengajian tinggi bukanlah kawasan larangan kepada dakwah Islam. Sebaliknya, kampus merupakan medan ilmu yang seharusnya subur dengan wacana, pencerahan dan penghayatan nilai-nilai murni berasaskan Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri turut menolak pandangan bahawa institusi pengajian tinggi perlu bersikap neutral sehingga menafikan identiti Islam yang menjadi sebahagian daripada asas kenegaraan Malaysia.
"Kenyataan Lingeshwaran cenderung untuk mentafsir Perlembagaan menurut kerangka sempit 'Malaysian Malaysia' yang sering dibawa oleh DAP.
"Pendekatan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan semangat Perlembagaan, malah berpotensi menghakis asas persefahaman nasional yang telah sekian lama menjadi tunjang kestabilan negara," katanya.
Tambah beliau, semua pihak terutama DAP dan sekutunya wajar menghormati kerangka kenegaraan yang telah dipersetujui bersama serta menghentikan polemik yang mempertikaikan hak dakwah umat Islam.
"Janganlah bersikap seperti kaduk naik junjung; diberi ruang dalam sistem demokrasi, akhirnya asas-asas Perlembagaan pula mahu dipersoalkan.
"Umat Islam sentiasa menghormati hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dan sebarang cubaan menghakis kedudukan Islam atas nama pluralisme yang ditafsir secara sempit dan melampau hanya akan menjejaskan keharmonian serta kestabilan negara," katanya.
Terdahulu, Lingeshwaran meminta siasatan secara menyeluruh, telus dan bebas dijalankan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab susulan penularan poster ‘Pendaftaran Saudara Baharu (Mualaf)’ yang menggunakan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Katanya, isu berkenaan telah menimbulkan keresahan kerana poster tersebut menggunakan nama dan identiti UPSI selain menyentuh perkara yang amat sensitif dalam konteks masyarakat majmuk negara ini.