TUDM bangunkan radar pertahanan, pemantauan udara kawasan strategik

Iklan
Muhamad Norazlan (tengah) mengadakan sidang media sempena Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia Ke-68 pada Khamis. Foto Bernama

SUBANG - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang membangunkan radar pertahanan udara dan pemantauan di beberapa kawasan strategik di seluruh negara bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan operasi pasukan keselamatan itu.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, radar pertahanan udara dibangunkan di Bintulu, Sarawak; Bukit Peteri, Terengganu dan Bukit Lunchu, Johor manakala radar pemantauan udara di Pulau Layang-Layang di Laut China Selatan.

Iklan
Iklan

Muhamad Norazlan berkata, pembangunan radar itu merupakan sebahagian daripada langkah pemodenan di bawah fasa pertama Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) bagi memastikan pembangunan keupayaan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan ancaman masa hadapan.

Menyentuh mengenai konflik di Asia Barat, beliau berkata, ia memberikan pengajaran sangat besar kepada dunia, termasuk Malaysia untuk terus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam mendepani realiti geostrategik yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Iklan

Beliau berkata, gangguan terhadap laluan komunikasi laut di Selat Hormuz bukan sahaja menjejaskan bekalan tenaga dunia, malah turut memberi impak kepada ekonomi global, rantaian bekalan dan kestabilan pasaran antarabangsa, termasuk Malaysia.

"Realiti ini menuntut kita untuk lebih peka dan bersedia dalam mempertahankan kedaulatan negara, yang mana Malaysia selaku sebuah negara maritim amat bergantung kepada keselamatan laluan komunikasi laut, khususnya di Selat Melaka dan Laut China Selatan yang menjadi nadi kepada perdagangan dan ekonomi negara,” katanya.

Iklan

Terdahulu, Muhamad Norazlan yang tiba di Pangkalan Udara Subang pada kira-kira jam 9 pagi, menerima tabik hormat dan seterusnya membuat pemeriksaan perbarisan dengan diiringi ketua perbarisan Leftenan Kolonel Mohd Nazree Mansor.

Beliau seterusnya menyampaikan Pingat Perkhidmatan Am (PPA) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) serta Sijil Kepujian Panglima Tentera Udara kepada 17 penerima dalam majlis yang turut dihadiri bekas-bekas Panglima Tentera Udara.

Perbarisan bertemakan"Kuasa Udara, Perisai Negara” itu melibatkan keseluruhan kekuatan 16 pegawai dan 272 anggota lain-lain pangkat yang dibahagikan kepada empat flait merangkumi Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU), Flait Gabungan Wanita dan Flait Gabungan Pelbagai Tred dalam TUDM.- Bernama