PETALING JAYA - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempunyai hubungan baik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor, namun perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama dalam pilihan raya masih belum mencapai kata putus.
Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, partinya telah memulakan perbincangan dengan semua parti pembangkang, cuma tidak ada keputusan muktamad kecuali Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah blok progresif.
"Yang paling utama untuk dimuktamadkan adakah parti-parti lain juga setuju untuk mengangkat dasar progresif.
"Seperti yang saya sebut, kita berbincang dengan semua parti pembangkang, tetapi seperti yang semua tahu, dinamik politik kita berubah dua tiga hari pun ada banyak perubahan baru, jadi saya tidak mahu ulas lanjut selagi belum ada keputusan muktamad," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, PSM turut mempunyai perancangan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun enggan mendahului pengumuman rasmi parti berkenaan.
"PSM juga ada perancangan bertanding di Johor. Saya tidak mahu mendahului pengumuman mereka.
Mengulas kedudukan Muda dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), beliau berkata, keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan adalah bagi memperkukuh dasar-dasar blok pembangkang.
"Dari awal kita bersetuju IPR adalah untuk dasar dan isu sahaja. Bila tiba pilihan raya, soal strategi adalah berbeza.
"Untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan, apa yang telah dimuktamadkan oleh Muda adalah kerjasama Blok Progresif bersama PSM," katanya.
Sementara itu, Amira Aisya enggan mencampuri urusan dalaman Pakatan Harapan (PH) berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.
"Saya tak nak masuk campur tentang perbincangan Pakatan Harapan.
"Cuma saya pernah sebut perkara ini dan saya berpegang kepada perkara ini, sesebuah kerusi itu bukan milik mutlak mana-mana parti. Kerusi itu milik rakyat," katanya.
Dalam perkembangan sama beliau memaklumkan, Jawatankuasa Pemilihan Calon Muda telah memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu.
"Kita akan umumkan dalam masa terdekat.
"Yang saya boleh kongsikan, saya berbangga Muda sekali lagi berjaya meletakkan 50 peratus calon wanita," katanya.