Pelajar hidap penyakit kerosakan saraf mata raih PNGK 3.92 dalam STPM

Iklan
Bariyyatul Busyra menunjukkan keputusan cemerlang yang diperoleh dalam STPM.

KOTA BHARU – Menggunakan lampu meja pada waktu siang dan malam sebagai sumber cahaya utama untuk belajar dan menghadapi peperiksaan, seorang pelajar rabun membuktikan keterbatasan penglihatan bukan penghalang apabila dirinya berjaya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian II, Bariyyatul Busyra Ruziham, 20, disahkan menghidap penyakit Retinitis Pigmentosa (RP) atau kerosakan saraf mata sejak usia lima tahun yang menyebabkan penglihatannya semakin merosot saban hari.

Iklan
Iklan

Walau kelihatan normal, namun dia hanya mampu belajar dalam tempoh terhad sekitar satu hingga dua jam kerana mudah mengalami keletihan mata serta penglihatan makin kabur.

“Saya perlukan lampu meja dan ubat titis mata untuk belajar dan semasa menduduki peperiksaan sebab tak nampak huruf dengan jelas.

Iklan

“Saiz huruf pula perlu dibesarkan dan kalau belajar lama, mata cepat penat, jadi saya kena berhenti rehat,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian II di sini pada Khamis.

Anak ketiga daripada lima beradik itu meraih keputusan 3A, 1A-,1B dalam lima mata pelajaran yang diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sejarah dan Pengajian Perniagaan.

Iklan

Dia juga kerap meminta bantuan rakan untuk membacakan penerangan yang ditulis oleh guru ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.

“Kawan-kawan banyak bantu saya apabila tak nampak dengan jelas apa yang ditulis cikgu di papan hitam.

“Waktu peperiksaan pun, saya dapat kelebihan lebih masa setengah jam setiap kertas untuk menjawab soalan,” katanya.

Bariyyatul Busyra (kiri) dicium ibunya tanda kegembiraan selepas memperoleh keputusan STPM. 

Bercerita mengenai rahsia belajar, Bariyyatul Busyra memberitahu dia memilih tidur sekitar jam 10 malam dan bangun seawal jam 3 pagi untuk menelaah.

“Dalam keadaan saya macam ini, saya kena percaya diri dan berusaha lebih untuk berjaya.

“Saya belajar waktu-waktu sunyi dan kadang-kala mendengar lagu nasyid selain menjaga adab dengan guru-guru,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi ahli perniagaan.

Kakaknya, Rabiaatul Adawiyah, 26, yang sedang menuntut di Universiti al-Azhar Mesir dalam bidang Bahasa Arab juga menghidap penyakit sama dan menggunakan kanta pembesar elektronik.

Adiknya, Nik Arahadatul Aisy, 15, turut sama seperti Bariyyatul Busyra dengan tahap rabun 200 hingga 300.

Sementara itu, ibunya, Engku Radziah Engku Ahmad, 54, masih mengingati detik awal perubahan kecil anaknya yang ketika itu berusia sekitar lima tahun apabila barang jatuh, dia teraba-raba mencari barang itu dan tidak seperti kanak-kanak lain.

“Waktu itu nampak dia macam lain sikit, tapi kami tak sangka rupanya penyakit itu semakin jelas.

“Apabila kakaknya pun disahkan RP, doktor minta semua anak perempuan diperiksa, memang kesemua tiga anak perempuan saya ada penyakit ini,” kata guru berkenaan.